PUTRAJAYA : Pemberian hak kewarganegaraan secara automatik kepada bayi lahir di luar negara oleh ibu kandung berstatus warganegara mewujudkan kesamarataan bagi golongan wanita terutamanya yang bergelar ibu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, beliau menyambut baik keputusan pemberian hak automatik tersebut yang diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi ke atas ibu kandung berstatus warganegara yang berkahwin dengan lelaki warganegara asing.
“Ternyata, keputusan tersebut memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional, sekali gus mampu mencerminkan keterampilan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Rina, kesamarataan itu menyerlahkan lagi daya pembangunan wanita dalam pelbagai aspek yang boleh diterjemahkan kepada usaha-usaha bermanfaat ke arah menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia.
Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik. -UTUSAN ONLINE










