Kerajaan perlu buat pelbagai pertimbangan sebelum semak kuota BUDI95

Kerajaan perlu buat pelbagai pertimbangan sebelum semak kuota BUDI95

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu membuat pelbagai pertimbangan sebelum membuat sebarang keputusan mengembalikan kuota bulanan Budi Madani RON95 (BUDI95) yang kini ditetapkan pada 200 liter kepada 300 liter susulan perkembangan gencatan senjata yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan situasi Asia Barat sebelum mempertimbangkan semula berkenaan kuota bulanan BUDI95 berikutan perkara tersebut memerlukan masa untuk dinilai keberkesanan dan impaknya terhadap pasaran minyak.

“Saya rasa kalau kita tengok perkembangannya baru lagi, mengenai pasal ‘temporary ceasefire’ yang baharu dimeterai pada Jumaat lalu. Ini akan mengambil masa 60 hari untuk mereka terus berbincang, jadi kita kena tunggu dan lihat sama ada ini boleh kekal dan implikasinya keseluruhan.

“Jadi yang pentingnya, apa yang kita usahakan dalam kerajaan ini adalah untuk memastikan rakyat terus dilindungi, iaitu dari segi apa yang kita buat bawah BUDI95, walaupun kuota turun daripada 300 liter kepada 200 liter, implikasinya terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai maklum balas sama ada kerajaan akan mengembalikan kuota 300 liter susulan perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran baru-baru ini pada sidang akhbar pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi Budi Madani Diesel di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian secara elektronik menandatangani Memorandum Persefahaman Islamabad bertujuan menamatkan perang antara AS, Israel dan Iran dan menghentikan serangan Israel ke Lubnan.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, hampir 80 peratus penerima subsidi BUDI95 juga menggunakan kurang 200 liter petrol sebulan.

“Kita juga menyarankan mereka yang boleh mengurangkan (penggunaan petrol) dan sebab itu ada usaha seperti bekerja dari rumah untuk mengurangkan penggunaan yang ada dan kita juga menyarankan penggunaan berhemah agar kita dapat mengurangkan tekanan yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN