Pelajar lelaki Tingkatan Satu kritikal jatuh bangunan dalam sekolah - Utusan Malaysia

Pelajar lelaki Tingkatan Satu kritikal jatuh bangunan dalam sekolah

KHAIRUDIN Abu Hanipah (kiri) di HRPB Ipoh menziarahi pelajar yang dilaporkan terjatuh dari bangunan dalam sebuah sekolah di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari bangunan dalam sebuah sekolah menengah, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya memaklumkan bahawa pelajar itu kini mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Menurut beliau, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 4.30 petang sebelum bergegas ke Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Pada pukul 4.30 petang, saya dimaklumkan mengenai kejadian seorang murid terjatuh dari bangunan.

“Selepas selesai urusan mesyuarat, saya terus ke HRPB untuk mendapatkan maklumat awal berhubung insiden yang berlaku pada tengah hari tadi,” katanya.

Khairudin berkata, beliau yang ditemani Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad turut berkesempatan bertemu ibu bapa pelajar terbabit di hospital.

“Saya sempat berbual dengan ibu bapa mangsa dan menyatakan rasa simpati kepada mereka ketika menziarahi keluarga itu di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah diarahkan untuk menyediakan laporan penuh berhubung kejadian tersebut.

“Saya juga telah mengarahkan pihak sekolah untuk sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN