Orang muda P.Pinang belanja RM57.7 juta beli syabu tahun ini - Utusan Malaysia

Orang muda P.Pinang belanja RM57.7 juta beli syabu tahun ini

MOHD SUHAILY MOHD ZAIN (dua dari kanan) bersama barisan panel ketika sesi 'townhall' bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disiarkan menerusi Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Syabu paling diminati orang muda di Pulau Pinang sehingga sebanyak RM57.7 juta dibazirkan golongan itu untuk membeli dadah sintetik tersebut sepanjang tahun ini. 

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, bagi tempoh sama, polis merampas 13,489 biji pil eramin 5 dengan nilai RM202,335; 1,233 biji pil ekstasi (RM22,194) dan 335 biji pil yaba bernilai RM3,350. 

“Dadah syabu adalah dadah paling popular dalam kalangan generasi muda dan wang sebanyak RM57.7 juta dibazirkan untuk mendapatkan syabu. 

“Selain berperang dengan pandemik Covid-19, kita masih berperang dengan najis dadah, bukan sahaja kerugian wang, malah mengakibatkan generasi muda kita menjadi lebih teruk berpunca daripada dadah,” katanya dalam sesi ‘townhall’ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Facebook di sini hari ini. 

Panel dalam sesi berkenaan ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Zakaria Taib dan Ketua Penolong Pengarah (Penyakit Berjangkit) Jabatan Kesihatan negeri, Rozaini Mat Shah. 

Menurut Mohd. Shuhaily, ekoran situasi pandemik Covid-19, pihak polis mendapati sindiket dadah  mengubah modus operandi dengan menggunakan kenderaan seperti lori untuk menyorok bungkusan dadah di bahagian yang diubah suai. 

“Mereka cuba mengambil kesempatan  di mana sekatan jalan raya kurang memeriksa lori namun cubaan mereka sering gagal,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kadar indeks jenayah siber turut mencatatkan peningkatan tahun ini iaitu 433 kes atau 53.8 peratus setakat September melibatkan kerugian sehingga mencecah RM7 juta. 

Tambah beliau, pada tahun ini juga, wujud satu lagi cabang jenayah siber iaitu penipuan tawaran kerja menerusi medium beli-belah online Shopee yang mana sebanyak 80 kes telah dicatatkan di Pulau Pinang. 

“Sebelum ini, jenayah siber melibatkan Macau Scam, e-dagang, parcel love scam, pelaburan dan  penipuan tidak wujud sahaja. 

“Namun ketika pandemik Covid-19, kita dapati ada pihak mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan iaitu menawarkan kerja yang tidak wujud di Shopee dan ramai yang menjadi mangsa adalah golongan muda dan pencari kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN