JOHOR BAHRU: Pelik dan aneh tetapi itu yang ditemui daripada penumpang feri Indonesia lelaki yang membawa bungkusan berisi kira-kira 1,000 ekor lipan dari Batam, Indonesia di Terminal Feri Stulang Laut di sini semalam.
Perbuatan itu disedari pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang membuat pemeriksaan di pintu keluar negara di terminal feri berkenaan.
Maqis Johor dalam kenyataan berkata, pemeriksaan dilakukan pada pukul 1 petang itu menemukan lipan hidup dalam bungkusan dibawa lelaki berusia 30-an.
Semua lipan itu dianggarkan bernilai RM1,750. Kenyataan memaklumkan, lelaki itu mendakwa haiwan itu untuk dijadikan makanan ikan.
“Ini adalah pertama kali cubaan membawa masuk lipan hidup ke negara ini,” kata kenyataan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan.
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.- UTUSAN