KUALA KRAI: Awang Nor, gajar jantan liar yang dilaporkan menceroboh penempatan dan merosakkan tanaman penduduk sekitar Kampung Tias, di sini sejak Sabtu lalu bertindak demikian kerana mahu mencari makanan.
Gangguan Awang Nor yang dianggarkan berusia antara 15 hingga 20 tahun bagaimanapun berakhir apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bertindak menangkapnya, semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi menangkap gajah liar terbabit dijalankan kira-kira pukul 10.30 pagi selepas pihaknya menerima aduan penduduk pada Sabtu lalu.
“Kita dapati ia merupakan aduan berulang melibatkan dua ekor gajah yang berada di bawah pemantauan Perhilitan Kelantan. Gajah liar itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa untuk mencari sumber makanan.
“Sehubungan dengan itu, lapan anggota Perhilitan berusaha menghalau gajah liar supaya kembali semula ke hutan simpan, namun tidak berhasil sehingga kita terpaksa menjalankan operasi menangkap haiwan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ady Ermanty Haniff, Awang Nor yang dianggarkan seberat dua tan ditangkap oleh 24 kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang bersama Jabatan Perhilitan Kelantan dan Terengganu.
“Dua ekor gajah denak iaitu Kala dan Suria digunakan bagi membantu operasi pemindahan Awang Nor yang dilepaskan semula ke habitat semula jadi di Taman Negara Kelantan -Terengganu -Pahang,” katanya.
Tambah beliau, populasi gajah yang mendiami HSK Serasa dianggarkan lebih 12 ekor. – UTUSAN










