Kerajaan negeri ajak pengusaha belacan, cencaluk bincang - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri ajak pengusaha belacan, cencaluk bincang

AKTIVITI menyungkur udang geragau semakin sukar berikutan habitat marin tersebut didakwa semakin berkurangan di persisiran perairan Melaka.- UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri mengajak pengusaha belacan dan cencaluk berbincang dalam situasi ‘menang-menang’ berhubung kesukaran mereka mendapatkan bekalan udang geragau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, masalah berkaitan agro pelancongan itu pastinya akan diselesaikan sekiranya dimaklumkan. 

“Sekiranya nelayan ini menghadapi kesukaran menangkap hasil udang geragau sehingga menjejaskan produk pelancongan negeri, datanglah berjumpa terus dengan jabatan pelancongan. 

“Nanti kami akan koordinasikan dengan agensi yang berkaitan untuk bersama-sama menyelesaikan isu berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sijil pengesahan dos suntikan vaksin lengkap kepada penggiat industri pelancongan di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Utusan Malaysia  dalam laporannya menyiarkan keluhan pengusaha belacan dan cencaluk secara tradisional di negeri ini yang bimbang industri tersebut terancam berikutan bahan mentah utamanya iaitu udang geragau semakin sukar dicari nelayan pesisir pantai terutamanya di Pantai Puteri, Tanjong Bidara dan Pengkalan Balak yang didakwa berpunca daripada aktiviti penambakan laut..

Dahulu, seseorang nelayan biasanya pulang gembira setiap kali tiba musim air bani atau air mati, iaitu masa paling sesuai menyungkur (menangkap) hasil laut itu sehingga memperoleh hasil 100 kilogram (kg) setiap hari.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, mereka yang terkesan juga tidak perlu bimbang dengan protokol dan proses yang merumitkan kerana pihaknya sentiasa mengalu-alukan perbincangan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

“Jumpa terus saya, jangan risau tak ada protokol. Sehingga kini kami tidak menerima apa-apa aduan berkenaan isu tersebut. 

“Sekiranya mereka tampil, saya akan panggil bersama Pengerusi Jawatankuasa Penternakan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Norhizam Hassan Baktee kerana agro pelancongan adalah di bawah 13 sub sektor, yang berkaitan dengan pertanian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN