Jumlah vaksinasi Johor lebih besar daripada data diperoleh - Utusan Malaysia

Jumlah vaksinasi Johor lebih besar daripada data diperoleh

HASNI Mohamad melihat peralatan perubatan sempena Majlis Penyerahan Aset Perubatan Kepada Hospital Hospital Bukan Pakar Negeri Johor di Hospital Permai, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah penduduk negeri ini yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 adalah lebih besar daripada data yang diperoleh ekoran beberapa faktor yang mempengaruhinya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, antara faktor berkenaan termasuklah antaranya disebabkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan individu yang mendapatkan suntikan vaksin di klinik swasta.

Menurut beliau, kelewatan perolehan data melibatkan dua kategori berkenaan menyumbang kepada perbezaan antara data diperoleh dan jumlah sebenar individu telah divaksin.

“Johor mempunyai bekalan vaksin yang banyak namun kadar vaksin rendah. Kita dapati bahawa terdapat satu jumlah besar individu yang tidak boleh mendaftarkan vaksinasi mereka di dalam MySejahtera.

“Contohnya yang dapat vaksin di Singapura, ramai bilangannya, mereka ini telah berdaftar dalam MySejahtera awal, namu divaksin di Singapura jadi proses suntikan itu tidak dilengkapkan menerusi MySejahtera.

“Dianggarkan antara 100,000 hingga 150,000 individu yang sebelum ini berdaftar untuk mendapatkan vaksin di Johor tetapi telah divaksin di Singapura, itu satu jumlah besar tetapi tidak termasuk dalam MySejahtera namun angka rakyat dewasa perlu divaksin turut melibatkan golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Serahan Sumbangan Menteri Besar Johor kepada Jabatan Kesihatan Negeri di Hospital Permai, di sini hari ini.

Hasni bagaimanapun memaklumkan pihaknya tidak terlalu bimbang dengan perkara berkenaan kerana yakin ia akan diuruskan agensi kerajaan pusat terlibat dalam masa terdekat.

Sementara itu, pihaknya memberitahu kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini dalam memastikan pesakit Covid-19 mendapat rawatan sewajarnya.

“Tumpuan kerajaan negeri dalam usaha beralih ke fasa seterusnya adalah untuk memastikan supaya kemudahan kesihatan mencukupi dalam apa keadaan sekalipun.

“Kita tahu kes terus meningkat di Johor dan ia banyak disumbangkan kluster industri kerana sektor berkenaan banyak menjalankan ujian setiap dua minggu sekali selain ujian di lapangan.

“Oleh itu, Johor perlu memastikan apabila beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara kita mempunyai kemudahan yang lengkap khususnya untuk merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima,” ujarnya.

Sehubungan itu Hasni memberitahu, pihaknya tetap komited untuk memastikan Johor beralih memasuki Fasa 2 dalam keadaan lebih bersedia.

Sementara itu, dalam program berkenaan kerajaan negeri dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor telah menyumbang pelbagai peralatan kesihatan berjumlah RM300,000 untuk diagihkan kepada lima hospital daerah bukan pakar di Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Tangkak. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN