SEREMBAN: Pas Negeri Sembilan mengintai peluang beberapa kerusi campuran yang dikenal pasti berpotensi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd. Fairuz Mohd. Isa berkata, perkara itu akan bergantung kepada rundingan kerusi bersama parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Katanya, meskipun fokus utama Pas kekal kepada kerusi majoriti Melayu, parti itu turut melihat potensi untuk bertanding di kerusi campuran berkenaan.
“Insya-Allah akan ada juga. Kalau gabungan nanti, apabila pembahagian kerusi dibuat, mungkin kerusi Melayu tidak mencukupi untuk dipertandingkan.
“Kemungkinan banyak juga kerusi yang kini dimiliki Pakatan Harapan (PH) akan kita tandingi terutama kawasan yang mempunyai jumlah pengundi Melayu 40 peratus ke atas. Namun, kami tetap mengikut keputusan yang diputuskan oleh Kepimpinan Pusat, ” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Ceramah Umum dan Majlis Pelancaran Logo PRN PAS Nismilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan di sini semalam.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting itu berkata, kemungkinan calon yang akan diletakkan di kerusi-kerusi campuran itu daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
Dalam perkembangan sama, Mohd Fairuz berkata, proses pemilihan calon Pas negeri ini sudah mencapai antara 80 hingga 90 peratus sebelum senarai akhir diserahkan kepada kepemimpinan Pusat.
“Kami akan mempertahankan DUN tiga DUN yang kami menang dan ditambah lagi lah. Calon-calon ini yang berintegriti.
“Daripada sudut umur dan sebagainya, calon yang muda iaitu dalam lingkungan umur 40 atau 60 tahun ke bawah,” katanya.
Tiga DUN yang dimenangi Pas sebelum ini atas tiket Perikatan Nasional (PN) ialah Serting, Paroi dan Bagan Pinang.
Mohd. Fairuz dalam pada itu turut mengingatkan kepada seluruh jentera dan akar umbi Pas agar menerima dengan hati terbuka segala keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti menjelang PRN akan datang. – UTUSAN










