KUALA SELANGOR: Dua bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Serong, Tanjong Karang di sini terbakar di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kebakaran membabitkan bilik pentadbiran unit sumber yang terletak dalam sebuah blok yang sama.
Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.50 tengah malam sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dan Sungai Besar ke tempat kejadian.
“Komander oeprasi melaporkan kebakaran melibatkan bangunan sekolah kelas A (binaan batu bata). Anggaran keluasan terbakar 40 peratus daripada ruang bangunan 5,000 kaki persegi di bahagian bilik guru dan pejabat.
“Kebakaran sebenar berkeluasan 1,500 kaki persegi melibatkan dua buah bilik (bilik pentadbiran dan unit sumber). Pemadaman menggunakan sumber air dari pili bomba, tiga aliran 200 kaki dan tiga pancutan nozel,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, api dapat dikawal kira-kira 12 minit selepas pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian dan kerja-kerja overhaul dan menyelamat selesai pada pukul 3.56 pagi.
“Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dimaklumkan bagi pemotongan bekalan elektrik.
Seramai 13 pegawai dan anggota bertugas memadam kebakaran dibantu tiga jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah lori tangki air,” jelasnya. – UTUSAN










