KUALA LUMPUR: Kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa kosong secara rasmi selepas penyandang kedua-dua kerusi mengemukakan surat pelepasan keahlian sebagai ahli Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau menerima surat daripada Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 18 Mei lalu.
Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah dimaklumkan mengenai kekosongan selaras dengan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Yang Berhormat bagi kawasan Pandan dan Setiawangsa telah menghantar surat untuk melepaskan keahlian sebagai Ahli Dewan Rakyat kepada saya pada 18 Mei 2026.
“Saya telah memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kedua-dua kerusi ahli Parlimen berkenaan selaras dengan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika pemasyhuran Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa apabila berlaku kekosongan luar jangka bagi sesuatu kerusi Dewan Rakyat, kekosongan itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi mengenainya, tertakluk kepada syarat dan pengecualian tertentu yang diperuntukkan undang-undang.
Kedua-dua kawasan berkenaan merupakan antara kerusi bandar yang mempunyai kepadatan pengundi tinggi serta signifikan dalam landskap politik negara. – UTUSAN










