GENEVA: Delegasi Iran di Switzerland pada Ahad meninggalkan lokasi rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) yang bertujuan untuk menamatkan perang di Asia Barat secara kekal, selepas Presiden Donald Trump, mengancam untuk menyerang republik Islam itu.
“Delegasi Republik Islam Iran, selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Qatar sebagai salah satu pihak pengantara, telah meninggalkan bangunan tempat rundingan berlangsung,” lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA.
“Pada masa yang sama ketika rundingan bermula di Switzerland, Trump telah menerbitkan satu mesej di platform X yang mengulangi ancaman serta kenyataannya terhadap Iran,” tambah laporan itu.
Trump, mengancam untuk mengebom Iran malah menculik pasukan perunding Iran sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka semula, sekali gus memaksa pengantara, Qatar dan Pakistan, meneruskan rundingan di belakang tabir.
Rentetan ancaman agresif Trump di media sosial dan dalam temu bual televisyen tersebar hingga ke lokasi rundingan di seberang Atlantik, sekali gus menimbulkan kemarahan dalam kalangan pasukan perunding Iran, yang menyatakan bahawa kenyataan tersebut merupakan ancaman tidak boleh diterima terhadap keselamatan peribadi mereka.
Mereka menegaskan bahawa memorandum yang ditandatangani oleh Trump minggu lalu mengandungi perjanjian tidak menyerang.
Ancaman Trump itu bercanggah dengan nada yang digunakan oleh Naib Presiden AS, JD Vance yang berkata, beliau telah diarahkan oleh presiden untuk menggunakan rundingan tersebut sebagai peluang membuka lembaran baharu dalam hubungan dengan Iran.
Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata: “Tidakkah mereka terfikir bahawa jika ancaman mereka mempunyai sebarang kesan, mereka tidak akan berada dalam keadaan terdesak seperti yang mereka hadapi hari ini? Kami langsung tidak mengambil kira ancaman Amerika.”
Namun, delegasi Iran merasakan mereka perlu meninggalkan rundingan sebagai tanda bantahan, sebahagiannya kerana wujud tekanan politik domestik yang menghendaki para perunding menunjukkan bahawa mereka tidak mempercayai pasukan rundingan Trump.
Vance dan pasukan perunding AS, termasuk Steve Witkoff dan Jared Kushner iaitu menantu Trump, telah bertemu dengan Ghalibaf dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam pertemuan yang menurut media rasmi Iran berlangsung selama kira-kira 80 minit. – AGENSI










