JPJ tangguh kuat kuasa, lanjut tempoh baharui lesen, cukai jalan - Utusan Malaysia

JPJ tangguh kuat kuasa, lanjut tempoh baharui lesen, cukai jalan

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim (dua dari kiri) melihat pengguna menggunakan kaunter pandu lalu di tempat letak kereta di belakang Istana Kehakiman, Putrajaya semalam. – utusan/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rungutan orang ramai yang sebelum ini berdepan kesukaran untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan akhirnya mendapat perhatian kerajaan.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memutuskan untuk me­lanjutkan tempoh memperbaharui lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Ma­laysia (LLM) sehingga akhir tahun ini.

Penetapan terbaharu itu se­ka­li gus membatalkan arahan di­keluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini yang meminta orang ramai mem­per­baharui LLM dan LKM sebelum Oktober ini jika tidak mahu berdepan tindakan saman.

Berita gembira mengenai lanjutan tempoh memperbaharui LLM dan LKM diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada sidang akhbar semalam.

Utusan Malaysia adalah antara yang lantang memperjuangkan isu dan kesukaran dihadapi orang ramai khususnya bagi mendapatkan slot janji temu untuk memperbaharui LKM dan LLM di kaun­ter-kaunter JPJ di seluruh negara.

Ka Siong berkata, menerusi arahan terbaharu itu, pemilik kenderaan yang lesen dan cukai jalan yang tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember ini.

Bagaimanapun, menurut be­­liau, pemilik LKM dan LLM yang tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan ma­sing-masing dilindungi insurans yang sah.

“Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira rungutan dan maklum balas orang ramai yang berdepan kesukaran memperbaharui LKM dan LLM di kaunter JPJ,” kata beliau.

Ka Siong memberitahu, orang ramai juga dibenarkan memperbaharui LKM dan LLM secara ‘walk-in’ (jumpa terus) bermula 6 September ini tanpa perlu melalui sistem tempahan seperti dilaksanakan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelanggan yang ingin berurusan di kaunter JPJ perlu menerima vaksinasi lengkap dan menunjukkan status Risiko Rendah Covid-19 pada aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, ia sebagai langkah menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai termasuk kakitangan JPJ yang bertugas.
“Menerusi pengoperasian ba­­haru itu, semua kaunter JPJ di seluruh negara dan kaunter rakan strategik JPJ akan beroperasi 100 peratus secara walk-in mulai Isnin ini.

“Saya juga akan meminta JPJ melihat keperluan untuk membuka kaunter pada hujung minggu bagi melancarkan proses itu,” katanya.

Katanya, mulai 6 September ini juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian bagi memberi sokongan kepada pelanggan berurusan di kaunter JPJ.

Ka Siong berkata, beliau juga menggalakkan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ atau portal rakan stategik se­perti Pos Malaysia Bhd, MyEG dan PUSPAKOM untuk apa-apa transaksi lain.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.