PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan siasatan berhubung aduan yang dibuat Albert Tei terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
AGC dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan terhadap Azam Baki.
“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan tersebut mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah seksyen berkenaan tidak dapat dibuktikan.
“Oleh yang demikian, kertas siasatan tersebut telah diputuskan untuk diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action / tiada tindakan lanjut),” katanya.
Sebelum ini, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 38, membuat beberapa dakwaan terhadap Azam berkaitan pertikaian dan siasatan yang sedang berjalan.
Antara lain, lelaki itu mendakwa beliau telah diugut, dihalang dan menjadi mangsa apabila cuba mendedahkan satu skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa ahli politik di Sabah. – UTUSAN










