Berhentilah diskriminasi syarikat tempatan-Shafie - Utusan Malaysia

Berhentilah diskriminasi syarikat tempatan-Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dasar kerajaan menetapkan 51 peratus ekuiti bumiputera bagi syarikat industri logistik tempatan harus dibatalkan bagi mengelakkan daripada terbeban dengan pelaksanaan dasar itu.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelaksanaan dasar itu merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap pemain industri tempatan kerana syarikat antarabangsa tidak terikat kepada dasar berkenaan.

Maka, terdapat keperluan untuk kerajaan meneliti dengan sepenuhnya pelaksanaan dasar ini, terutamanya kesediaan pemain bumiputera untuk membeli ekuiti syarikat-syarikat berkenaan.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, sekiranya tidak dikaji dengan baik, beliau khuatir kebanyakan syarikat logistik dalam industri ini tidak akan bertahan dan terpaksa gulung tikar.

“Beliau khuatir peratusan pembeli bumiputera yang layak dan mampu untuk mengambil alih ekuiti dalam industri adalah rendah, terutamanya ketika negara mengharungi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dasar ini yang sepatutnya berkuat kuasa hujung tahun ini namun, ditunda kepada 1 Disember 2022.

Menurut beliau, dasar ini tidak dikenakan kepada syarikat antarabangsa kerana industri logistik diliberalisasikan di bawah kebanyakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Maka, mana-mana syarat yang menindas syarikat asing boleh dikira melanggar FTA.

Walau bagaimanapun katanya, tidak adil untuk membebankan pemain industri tempatan dengan ekuiti bumiputera ini dan berkemungkinan mereka terpaksa menjual syarikat kepada syarikat asing.

Situasi ini akan menyebabkan jurang pemilikan ekuiti antara syarikat tempatan dan antrabangsa menjadi lebih besar. Berdasarkan data dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan ekuiti warga asing meningkat daripada 37.2 peratus pada tahun 2011 kepada 45.3 peratus pada tahun 2015.

Pegangan ekuiti bukan bumiputera menurun daripada 34.8 peratus kepada 30.7 peratus pada tempoh yang sama manakala, pemilikan ekuiti bumiputera turut jatuh dari 23.4 peratus kepada 16.2 peratus..

Tambah beliau, Warisan menolak sebarang bentuk diskriminasi terhadap syarikat tempatan sama ada bumiputera mahupun bukan bumiputera. Oleh itu, kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan untuk terus berdaya saing dan mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN