PETALING JAYA: Siasatan terhadap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kehilangan barang kes membabitkan wang tunai RM25 juta tidak menolak kemungkinan beberapa akaun bank milik individu tertentu digunakan untuk menyimpan aset mereka.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, SPRM bagaimanapun masih mengesan sekiranya terdapat aset-aset lain milik kesemua pegawai terlibat menggunakan nama proksi.
“Masih terlalu awal mengaitkan perkara itu memandangkan siasatan masih dilakukan dan mengambil sedikit masa.
“Tambahan pula, SPRM dipercayai dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen daripada pihak bank untuk diteliti,” katanya di sini semalam.
Ditanya sama ada sitaan wang tunai membabitkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid mengikut prosedur operasi standard (SOP) siasatan, kata sumber itu, SPRM masih meneliti perkara berkenaan.
Katanya, mengikut SOP, setiap barang kes perlu disimpan di bilik atau stor penyimpanan barangan berkenaan.
Sumber itu berkata, setiap pegawai penyiasat yang memegang sesuatu barang kes perlu menyenaraikan di dalam buku pendaftaran atau log barang kes.
“Selepas itu, buku pendaftaran berkenaan akan diserahkan kepada ketua cawangan masing-masing untuk disimpan.
“Sekiranya barang kes itu perlu dibawa ke mahkamah, mereka perlu memaklumkan kepada ketua mereka dan mengisi borang tertentu.
“Jadi, semakan masih dilakukan SPRM terhadap dokumen-dokumen berkaitan memandangkan penguasa kanan berkenaan antara individu yang bertanggungjawab menyimpan barang bukti sesuatu kes yang disiasat,” jelasnya.
Laporan Mingguan Malaysia kelmarin mendedahkan SPRM telah menyita sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah semuanya dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
Kesemua harta yang disita ialah sebuah rumah di Selangor, dua buah motosikal jenis Ducati, kereta Mercedes Benz (1) dan Honda Type R (1).
Rumah dan semua kenderaan tersebut dipercayai milik kepada pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan gred 44 berusia 40 tahun.
Utusan Malaysia, sebelum ini turut mendedahkan selain harta-harta berkenaan, SPRM turut menemukan wang tunai RM50,000 dan beberapa buah kereta mewah di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penguasa kanan berkenaan turut disyaki terlibat dalam beberapa pelaburan dan pembelian hartanah namun setakat ini pasukan penyiasat sedang mengumpul bukti mengenai aktiviti tersebut. – UTUSAN










