Tun Sakaran pemimpin disayangi rakyat - Utusan Malaysia

Tun Sakaran pemimpin disayangi rakyat

Petugas pengurusan jenazah mengetuai bacaan doa selepas jenazah Allahyarham Sakaran Dandai selesai disemadikan di Makan Pahlawan, Masjid Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sikap mesra masyarakat akan membuatkan bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai terus diingati rakyat negeri ini.

Bekas Ketua Menteri kelapan itu meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Gleneagles kira-kira pukul 5.30 pagi semalam akibat jangkitan Covid-19.

Allahyarham dimasukkan ke hospital swasta itu sejak 18 Ogos lalu sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleneagles pada 24 Ogos lalu.

Pemergian Allahyarham kehilangan besar kepada negara terutama Sabah dan arwah meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah dan 12 orang anak.

Sakaran dilahirkan pada 15 April 1930 di Kampung Air, Semporna dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Semporna sebelum melanjutkan pengajian ke Government Vernacular School Semporna atau kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna.

Sebelum menyertai politik, Sakaran pernah bertugas dalam perkhidmatan awam sebagai Ketua Anak Negeri pada 1960 dan sumbangannya dalam pembangunan pendidikan di Semporna amat dihargai. Ketika itu, 35 peratus kanak-kanak yang layak bersekolah dihantar untuk belajar di sekolah.

Sakaran adalah tokoh pemimpin yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negeri serta perkembangan Islam di Sabah semasa menerajui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) selaku Yang Dipertua USIA.

Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah kelapan pada Mac-Disember 1994 dan kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah pada 1995-2002.

Sakaran pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semporna 1967-1985, Ahli Parlimen Silam 1978-1982 dan ADUN Sulabayan 1985-1994.

Dalam arena politik, beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (UPKO) pada 1986 dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia pada 1993.
Jasa Sakaran terhadap Sabah membawa kepada penubuhan Muzium Tun Sakaran dan Taman Marin Tun Sakaran yang dibangunkan pada 2009-2010 di Semporna.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×