Thor Keat tolak komunis pilih PPH - Utusan Malaysia

Thor Keat tolak komunis pilih PPH

Ooi Thor Keat yang terlibat dalam Rundingan Baling antara kerajaan dan komunis pada tahun 1955 menunjukkan koleksi gambar-gambar lama semasa perkhidmatan beliau dalam Pasukan Polis Hutan ketika ditemui di Baling, Kedah kelmarin. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Ditawarkan menyertai gerakan Parti Komunis Malaya ketika berusia 18 tahun, namun bekas Lans Koperal Ooi Thor Keat menolak kerana merasakan ia bukan perjuangan yang betul sebaliknya memilih menyertai Pasukan Polis Hutan (PHH) yang sekarang dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Antara tugas penting beliau sewaktu berkhidmat dengan pasukan polis ialah menjaga bilik rehat Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ketika Rundingan Baling pada Disember 1955.

Thor Keat yang kini berusia 90 tahun berkata, sebelum menyertai PPH, ramai rakan berketurunan Cina mengajaknya menyertai gerakan komunis tetapi ditolak kerana tidak bersetuju dengan pemberontakan PKM di negara ini.

Dia mengambil keputusan menyertai PPH dengan bantuan seorang pegawai polis yang dikenali Inspektor Lazim dan bertugas di Kem Lapangan Terbang Gunung Rapat, Ipoh.

Mengimbau pengalamannya menjaga Chin Peng, beliau memberitahu, tanggungjawab itu walaupun hanya dua hari iaitu 28 dan 29 Disember, namun sebagai anggota polis baru berusia 19 tahun, Thor Keat dapat melihat wajah Chin Peng yang merupakan individu paling dikehendaki pihak berkuasa ketika itu dari dekat.

Malah, beliau juga berpeluang beberapa kali memasuki bilik rehat Chin Peng menghantar kopi buat ketua PKM itu.

“Dua hari bertugas di bilik rehat itu, jantung saya tidak henti berdebar. Satu kerana takut mungkin ada tindakan luar jangka oleh Chin Peng.

“Debaran kedua, risau berlaku kesilapan sehingga menjejaskan imej saya sebagai anggota keselamatan bukan sahaja di mata Chin Peng tetapi paling utama pasukan saya,” cerita Thor Keat kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung di Taman Bukit di sini kelmarin.

Mengimbau sejarah Rundingan Baling antara kerajaan dan PKM pada 28 dan 29 Disember 1955 di Sekolah Inggeris Baling yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putra di sini itu, Thor Keat berkata, dia dipilih melaksanakan tugas itu kerana dia hanya satu-satu anggota berketurunan Cina dalam Batalion 1 Kem Lapangan Terbang Gunung Rapat, Ipoh.

Katanya, pegawainya percaya beliau dapat memudahkan urusan Chin Ping kerana bahasa pertuturannyan adalah bahasa Cina.

Thor Keat yang menyertai PPH pada tahun 1954 berkata, sepanjang dua hari bertugas itu, beliau tidak pernah bercakap dengan Chin Ping, Chin Tian atau Abdul Rashid Maidin.

“Namun saya lihat mereka cukup serius dan mempunyai raut muka yang garang terutamanya Rashid Maidin,” ceritanya penuh semangat.

Dalam rundingan Baling itu, pihak kerajaan diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra; Ketua Menteri Singapura, David Marshall dan Datuk Tan Cheng Lock.

Sementara itu, pihak komunis diwakili Chin Peng sendiri dengan dibantu orang kuatnya iaitu Chin Tian dan Abdul Rashid Maidin.

Katanya, sepanjang bertugas beliau juga pernah bertempur dengan sekumpulan komunis di Lempang, Nering, Gerik, Perak pada tahun 1950.

“Dalam pertempuran itu, 20 daripada 40 anggota yang bertugas termasuk seorang pegawai terkorban dalam serangan empat jam bermula dari pukul 2 petang,” katanya yang mempunyai dua orang anak perempuan berusia 67 dan 69 tahun.

Bagaimanapun, Khor Keat yang kini seorang pengamal perubatan tradisional berkata, beliau menamatkan perkhidmatan pada tahun 1958 selepas menolak tawaran untuk ditukarkan ke Unit Cawangan Khas (SB).

“Selepas itu saya menetap di Ipoh dan bekerja sebagai buruh. Saya juga pernah bekerja di Singapura dan Indonesia sebelum pulang ke Baling pada tahun 1996,” katanya yang tidak menerima pencen kerana bersara awal daripada pasukan polis. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×