Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa ketika rakyat susah - Utusan Malaysia

Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa ketika rakyat susah

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan kerana terdapat pemimpin politik yang mengganggu usaha kerajaan dan merebut kuasa sedangkan rakyat negara ini dalam keadaan susah akibat pandemik Covid-19.

Baginda bertitah agar semua pemimpin mengutamakan kepentingan rakyat serta perpaduan ummah dan bukan sebaliknya demi kepentingan peribadi.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berdepan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah.

“Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut bertitah agar semua pemimpin di negara ini bersikap jujur dan amanah dengan tanggungjawab yang mereka miliki.

“Oleh itu, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberi dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah Sultan Ibrahim. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN