SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan yakin dapat mencapai sasaran keseluruhan pekerja sektor perindustrian di negeri ini menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, sebanyak 160,000 dos vaksin untuk 80,000 pekerja sektor perindustrian diperuntukkan menerusi dua buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (Pikas) yang dibuka di negeri ini.
“Daripada jumlah tersebut, 120,000 dos vaksin untuk 60,000 orang pekerja industri diperuntukkan di PPV Pikas d’Tempat Country Club, Sendayan manakala bakinya 40,000 dos vaksin untuk 20,000 orang bagi PPV Pikas D’Cattleya.
“Secara keseluruhan, kita telah mencapai jumlah yang agak tinggi dengan seramai 43,954 pekerja sektor perindustrian di Negeri Sembilan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya hari ini.
Mohamad Rafie berkata, pekerja yang telah melengkapkan suntikan vaksin dos kedua pula ada seramai 17,430 orang.
“PPV Pikas d’Tempat Country Club, Sendayan yang beroperasi sejak 5 Julai lalu sehingga semalam telah berjaya memberi 37,313 suntikan dos pertama dan 17,430 suntikan dos kedua kepada pekerja industri di negeri ini.
“Manakala PPV Pikas D’Cattleya, Senawang yang mula beroperasi pada 2 Ogos lalu pula telah memberi suntikan dos pertama kepada 6,641 pekerja setakat 5 petang semalam,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkata, semua pihak pengurusan sektor perindustrian yang masih belum berdaftar untuk pemberian vaksin dinasihatkan untuk segera mendaftarkan pekerja masing-masing di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) supaya proses vaksin dapat diatur segera.
“Kita perlu berusaha untuk memastikan setiap premis sektor perindustrian dapat mencapai 100 peratus suntikan vaksin bagi membolehkan sektor perindustrian dapat beroperasi semula secara optimum.
“Dalam usaha untuk menjadikan premis perkilangan kawasan bebas Covid-19, tiga prasyarat utama perlu dicapai iaitu 100 peratus pekerja menerima dua dos suntikan vaksin, saringan awal menggunakan kit ujian Covid-19 sebelum memasuki premis kilang dan sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE










