SHAH ALAM: Kebanjiran warga asing di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pusat Konvensyen Midlands di Seksyen 7 di sini disebabkan mereka mahu mencuba nasib dengan cara walk-in untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Mendedahkan perkara tersebut, petugas PPVIN itu, Shahrul Hazwan Sani berkata, pihaknya mendapati sebilangan besar mereka datang tanpa tarikh janji temu dengan harapan dapat menerima suntikan vaksin.
“Sebelum dibenarkan masuk, pihak petugas akan periksa MySejahtera warga asing untuk pastikan mereka dapat sesi janji temu itu atau sebaliknya.
“Kalau tak ada, petugas tidak benarkan mereka masuk dan menyuruhnya pulang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan mereka yang sepatutnya layak mendapat vaksin terpaksa menunggu lama.
Kata Shahrul Hazwan, ada antara warga asing tidak mahu menerima vaksin Sinovac yang ditawarkan PPVIN terbabit.
“Tolak kerana mereka kata dalam internet cakap Sinovac tidak sebagus vaksin lain.
“Memang rasa marah tapi apa boleh buat sebab mereka tak mahu vaksin ini walaupun ia diberi secara percuma,” luahnya.
Selain memberikan vaksin kepada penerima dalam Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), menurutnya, PPVIN itu turut memberi vaksin kepada penerima dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mulai minggu lalu. – UTUSAN










