Proklamasi Darurat: Peguam Negara perlu neutral - Utusan Malaysia

Proklamasi Darurat: Peguam Negara perlu neutral

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Muhyiddin Yassin berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – GAMBAR FB ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Idrus Harun diingatkan mengenai peranannya sebagai Peguam Negara (AG) yang tidak boleh memihak kepada mana-mana institusi sama ada Kabinet mahupun Yang di-Pertuan Agong dalam mencari penyelesaian berhubung pertikaian penamatan Ordinan Darurat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, Peguam Negara perlu memberi nasihat tepat mengikut undang-undang dan tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak.

Pendakwaan
ABU TALIB OTHMAN

Malah, menurut beliau, sebagai Peguam Negara, Idrus juga tidak boleh mendedahkan apa-apa maklumat antara pihak kerajaan atau istana walaupun didesak oleh mana-mana pihak tertentu bagi memberi penjelasan mengenai sesuatu isu.

“Peguam Negara tertakluk kepada undang-undang dan perlu memegang rahsia apa yang berlaku antara kerajaan atau Yang di-Pertuan Agong kerana ini adalah urusan rasmi. Jadi tidak wajar mendedahkan apa-apa perbincangan antara kedua-dua belah pihak.

“Selain itu, pendekatan berkecuali perlu ada pada Peguam Negara dalam menegakkan undang-undang termasuk dalam isu memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Abu Talib ialah Peguam Negara pada tahun 1993 sewaktu pindaan Perlembagaan Persekutuan perkara 181 (2) bagi menjelaskan kedudukan Raja-raja Melayu.

Khamis lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita berhubung kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan sudah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sedangkan ia belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat yang berkuat kuasa 21 Julai disifatkan dilakukan secara tergesa-gesa tanpa melalui pembentangan di Parlimen.

Keputusan dan pengumuman tersebut juga boleh disifatkan sebagai kerajaan gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dalam Rukun Negara.

Pejabat Perdana Menteri pula dalam kenyataan menjelaskan bahawa apabila darurat tidak disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan Seri Paduka sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Isu Proklamasi Darurat mencetuskan ketegangan sebaik sahaja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat pada 21 Julai.

Pengumuman tersebut terus mendapat bantahan terutama pembangkang yang disifatkan tidak melalui proses yang betul selain membelakangkan Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Abu Talib berkata, mana-mana individu boleh membawa isu Proklamasi Darurat dan pembatalan ordinan yang masih menjadi pertikaian antara pihak istana dan kerajaan ke Mahkamah Persekutuan.

“Tiada siapa boleh menghalang untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan. Sama ada salah atau tidak, terpulang kepada keputusan yang akan dibuat nanti,’ ujarnya.

Dalam masa sama, Abu Talib berkata, Ordinan Darurat akan tamat dengan sendirinya selepas enam bulan dari tarikh proklamasi terhenti dikuatkuasakan.

Sementara itu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, tidak wajar untuk mana-mana pihak terus meletakkan kesalahan atau sewenang-wenang membuat dakwaan kononnya Idrus menyebelahi mana-mana pihak dalam isu Proklamasi Darurat.

“Tidak boleh salahkan Peguam Negara semudah itu. Seseorang yang dilantik tahu apa yang dilakukan beliau.

“Segalanya terpulang sama ada nasihat Peguam Negara itu mahu diguna pakai atau tidak sebaik sahaja Peguam Negara memberi pandangan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN