KUALA LUMPUR: Kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 dan bilangan pesakit yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital antara faktor mesti dipertimbangkan sebelum kerajaan membenarkan Lembah Klang beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Orang ramai di Lembah Klang dan di semua negeri juga diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan wabak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kerajaan antara lain perlu mengambilkira pemberian vaksin ke atas remaja berumur 12 hingga 17 yang belum dilaksana kerana mereka juga cenderung mendapat jangkitan.
Berita berkaitan:
“Memang perkembangan baik apabila kadar vaksinasi semakin meningkat tetapi tidak bermakna keadaan sudah selamat. Kita tetap perlu berhati-hati bagi mengelakkan wujud kluster baharu,” kata beliau yang juga pakar bedah kardiotorasik.
Senada, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, kerajaan disarankan mempertimbang dos pengalak bagi mereka yang sudah melengkapkan dua suntikan vaksin melebihi enam bulan terutama buat petugas barisan hadapan.
“Kita perlu fikir langkah ini dan kena ada perancangan lain bagi memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh disebabkan imuniti berkurang terutama kalau varian baharu menjangkiti,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin memaklumkan, kerajaan akan melihat secara terperinci peralihan fasa PPN di Lembah Klang ekoran kadar suntikan lengkap vaksinasi sudah mencapai hampir 90 peratus atau seramai 5,518,094 orang.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak pula berkata, peralihan fasa ke fasa tidak bermasalah jika mempunyai penanda aras baharu bagi kes bergejala ditetapkan dalam PPN.
Katanya, ia antara seperti nilai ambang dalam peralihan fasa 1 ke fasa 2 ialah 2,000 kes (6.1 kes per 100,000 penduduk); fasa 2 ke fasa 3 ialah 1,000 kes (3.0 kes per 100,000) dan fasa 3 ke fasa 4 pula 400 kes (1.3 kes per 100,000 penduduk).
“Jika kita melepasi indikator ini, maka, boleh untuk beralih ke fasa seterusnya. Yang perlu dirisaukan ialah beban kepada hospital jika tidak mampu mengendalikan kes-kes yang kritikal,” katanya.











