MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatatkan penjimatan penggunaan tenaga elektrik sebanyak RM9 juta dari 2015 sehingga pertengahan tahun ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim berkata, pencapaian tersebut adalah kejayaan besar dalam tempoh enam tahun kerana UTeM mampu mencapai penjimatan tenaga elektrik sebanyak 25 juta kilowatt jam.
Menurut beliau, kejayaan itu juga memberikan impak berganda dalam aspek kawalan pembebasan karbon dioksida (CO2) apabila turut berkurang sebanyak 14,559 tan.
“Menerusi formula strategik yang dibangunkan secara dalaman oleh pihak UTeM terbukti membuahkan hasil yang memberangsangkan selari aspirasi negara bagi pengurusan tenaga.
“Pengisian formula strategik UTeM bermula dengan pembentukan sumber manusia yang dinamik dan komited dalam menjayakan agenda ini di samping penerapan teknologi berasaskan Revolusi Industri (IR 4.0),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










