Pemerdagangan manusia: Seorang lagi ditahan di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Pemerdagangan manusia: Seorang lagi ditahan di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Polis menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks yang dikesan dalam Op Pintas di Kuala Pilah pada 1 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi di hadapan sebuah kediaman di Air Itam, Pulau Pinang, Sabtu lepas.

Menurutnya, individu berkenaan disyaki turut terlibat dalam kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks dan siasatan lanjut ke atas suspek ini akan dilakukan.

Ia bagi mengenal pasti peranannya serta lain-lain individu yang bersekongkol dalam kegiatan tersebut.

“Tangkapan terbaharu berkenaan menjadikan setakat ini dua individu termasuk seorang selebriti telah ditahan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia berkenaan.

“Individu berkenaan kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dan kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari sehingga 13 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Amran berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan di rujuk dengan pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya.

Utusan Malaysia pada 3 Ogos lalu melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

Dalam operasi berkenaan, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di daerah yang sama dan kini wanita berkenaan mendapat perintah perlindungan sementara serta ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pelawak berkenaan turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan). – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN