KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 yang menawarkan geran antara RM30,000 hingga RM100,000 bagi menyokong projek menghidupkan semula kawasan pusat bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, geran yang diselaraskan oleh Think City itu bukanlah inisiatif baharu, sebaliknya telah dilaksanakan setiap tahun bagi menggalakkan penyertaan pelbagai pihak dalam memperkasakan ibu kota.
“Saya berharap semua yang berminat, khususnya mereka yang mempunyai idea baharu akan memohon geran itu. Semua syarat dan kriteria akan dikongsikan oleh Think City dan saya berharap kita dapat bekerjasama untuk mendapatkan idea-idea baharu bagi menghidupkan semula Kuala Lumpur.
“Kejayaan Kuala Lumpur bukan sekadar diukur menerusi pembangunan fizikal baharu, tetapi sejauh mana rakyat terus memilih untuk tinggal, bekerja, melabur dan kembali ke sini. Itulah bandar yang sedang kita bina bersama serta memberi nafas baharu,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 dan Hari Terbuka Ekosistem di Panggung Wayang Odeon KL, di sini hari ini.
Hannah berkata, selain pelaburan kerajaan dan sektor swasta dalam pembinaan serta menaik taraf infrastruktur dan bangunan, aspek pengisian aktiviti di ibu negara juga perlu diberi perhatian.
“Daripada segi infrastruktur, kerajaan dan sektor swasta sedang melabur untuk membina atau menaik taraf banyak bangunan. Namun, perkara yang ingin kita dengar daripada pihak pemegang taruh ialah jenis aktiviti yang mereka mahukan.
“Paling penting adalah DBKL terus mengadakan sesi libat urus bagi mendengar pandangan serta idea daripada semua yang bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan pelaksanaan geran turut menjadi keutamaan bagi mengelakkan pertindihan permohonan dan pembaziran sumber.
“Seseorang pemohon tidak perlu berurusan dengan empat atau lima pihak berbeza, dan pada masa sama kita dapat mengelakkan pertindihan idea atau pembaziran. Kita tidak mahu perkara itu berlaku.
“Jadi, penyelarasan akan dilakukan oleh Think City untuk menghimpunkan semua idea tersebut. DBKL pula akan bekerjasama dengan Think City bagi melihat bagaimana kita boleh membantu merealisasikan sebahagian daripada idea-idea tersebut,” katanya.
Program itu terbuka kepada semua kategori perniagaan, organisasi kebudayaan dan komuniti, perusahaan sosial, persatuan penduduk dan peniaga, institusi pendidikan, pengendali ruang, penyedia teknologi serta perkongsian merentas sektor yang mempunyai kepentingan terhadap masa depan Pusat Bandar Kuala Lumpur.
Geran itu ditawarkan merentasi enam bidang tumpuan iaitu rangkaian muzium dan galeri, pemulihan ruang, pengaktifan budaya dan kandungan kreatif, perniagaan kreatif dan pembangunan organisasi, penglibatan komuniti dan pembangunan kapasiti serta pendigitalan dan inovasi.
Permohonan dibuka bermula hari ini hingga 21 Ogos depan, dengan pelaksanaan projek berlangsung dari November ini sehingga Jun 2027. Semua permohonan yang ditawarkan tertakluk kepada kriteria kelayakan dan proses penilaian program. – UTUSAN










