Lelaki pukul isteri, anak ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki pukul isteri, anak ditahan

HANTARAN tular didakwa dimuat naik remaja selepas dipukul bapaya di Taman Melati Utama semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai memukul isteri dan anaknya di rumah mereka di Taman Melati Utama, di sini semalam.

Tindakan dayus lelaki itu terbongkar selepas polis mengesan satu hantaran tular ‘Talian Kasih’ di aplikasi Twitter.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, hail semakan mendapati seorang wanita warga tempatan berusia 44 tahun dan anak lelakinya berusia 14 tahun dipukul oleh suaminya di rumah mereka.

Katanya, hantaran yang tular dalam media sosial dan bunyi bising menyebabkan jiran datang ke rumah mereka untuk meredakan keadaan.

“Kita juga ke lokasi kejadian dan membawa isteri serta anaknya ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan, pergaduhan berlaku semalam kira-kira pukul 11.30 pagi. Suspek telah memarahi dan menuduh mangsa mengambil wangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ashari berkata, mangsa yang hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa.

Ujarnya, anak mangsa yang cuba meleraikan pergelutan turut dipukul suspek.

“Anak mangsa telah memuat naik hantaran mengenai pergaduhan di aplikasi Twitter menyebabkan ia menjadi tular.

“Hal tersebut telah disedari suspek yang berusia 44 tahun itu pada pukul 1.17 tengah hari dan menyebabkan suspek sekali lagi menyerang anak mangsa,” ujar beliau.

Tambah Ashari, mangsa turut  membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju kerana bimbang dengan keselamatan diri serta ahli keluarga yang lain.

“Suspek juga ditahan di Balai Polis Wangsa Maju dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN