CARACAS: Polis Venezuela melepaskan gas pemedih mata pada Khamis bagi menyuraikan kira-kira 2,000 penunjuk perasaan yang berarak menuju ke istana presiden bagi menuntut kenaikan gaji dan pencen.
Berpuluh-puluh polis simpanan lengkap dengan topi keledar dan perisai berbaris di jalanan ketika penunjuk perasaan berarak melalui pusat bandar Caracas.
Pihak polis mula melepaskan gas pemedih mata apabila kumpulan itu berada dalam jarak beberapa blok dari istana presiden. Seorang penunjuk perasaan dilaporkan mengalami kecederaan di lengan selepas terkena balingan batu semasa kekecohan tersebut.
Pertempuran itu mencerminkan kemarahan rakyat yang semakin memuncak terhadap Pemangku Presiden, Delcy Rodriguez. Beliau menggantikan pemimpin sosialis tegar Nicolas Maduro pada Januari lalu dalam menangani krisis kos sara hidup.
Pada Rabu, beliau menerusi siaran televisyen mengumumkan kenaikan gaji pada 1 Mei depan, namun tidak mendedahkan jumlah kenaikan tersebut.
Pada masa ini, gaji minimum bulanan di Venezuela adalah 130 bolivar (RM1.07). Ia adalah kira-kira 330 kali ganda lebih rendah daripada garis kemiskinan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu AS$3 (RM11.91) sehari.
Seorang pekerja yang telah berkhidmat dalam sektor awam selama lebih 20 tahun, Jesus Godboy menunjukkan dua keping wang kertas 100 bolivar (RM1.58) dalam poketnya sambil berkata: “Saya pun tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli tepung.”
Beliau turut mendakwa bahawa pegawai kerajaan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah dengan pengawal peribadi, manakala rakyat biasa dibiarkan menderita. – AFP










