Cari kerja lain ketika musim tengkujuh - Utusan Malaysia

Cari kerja lain ketika musim tengkujuh

ALIAS Ali mengibarkan Jalur Gemilang di atas perahunya bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2021 di Pangkalan Nelayan Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Monsun Barat Daya yang menyebabkan ribut petir dan hujan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung ketika ini menyebabkan golongan nelayan di sini, terkesan serta  terpaksa mencari pekerjaan lain buat sementara waktu bagi menampung kehidupan.

Seorang nelayan, Alias Ali, 66, berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu mengundang risiko untuk nelayan turun ke laut ketika ini.

“Saya memilih mengusahakan perkhidmatan mengurut sehingga musim tengkujuh selesai. Saya juga khuatir turun ke laut dan bahaya kerana cuaca juga tidak menentu.

“Selain itu, saya mengambil upah mesin rumput jika ada permintaan. Walaupun sudah berusia namun kudrat masih ada untuk melakukan kerja-kerja ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program pengagihan Jalur Gemilang oleh Pejabat Penerangan Daerah Port Dickson kepada nelayan di Pangkalan Nelayan Bagan Pinang dekat sini, semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.

Seorang lagi nelayan, Rosli Abdul Aziz, 59 berkata, dia mengurangkan aktiviti menangkap ikan kerana khuatir dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di perairan Port Dickson.

“Cuaca yang tidak menentu ini memang sukar untuk nelayan seperti kami, jika dahulu boleh tangkap ketam sehingga enam kilogram namun kini, hanya satu kilogram.

“Saya memang tidak menjual kepada peraih tetapi saya menjual kepada penduduk sekitar sahaja. Jika turun ke laut ketika ini memang tidak balik modal,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Port Dickson, Norhaidah Md. Esa berkata, program berkenaan dilihat dapat menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

“Kami turun padang ke pangkalan nelayan bagi menyampaikan maklumat terkini menerusi program Info on Wheels dan memberikan Jalur Gemilang kepada nelayan di sini.

“Sebanyak 100 pasang Jalur Gemilang diberikan kepada nelayan dan kami turut menghiaskan kawasan berkenaan dengan bendera,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN