WASHINGTON: Sebuah kereta api kargo tergelincir di selatan Kentucky, mengakibatkan kebocoran sulfur cair ke udara, menurut pihak berkuasa.
Sebanyak 31 gerabak terlibat dalam kemalangan berhampiran sempadan Kentucky-Tennessee, menurut ciapan Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, di platform X.
Pasukan bahan berbahaya dikejarkan ke lokasi kejadian, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Pengarah Pengurusan Kecemasan Todd County, Ash Groves, memberitahu WEKT satu gerabak terbakar dan satu lagi terjejas, kedua-duanya membawa sulfur lebur.
Stesen radio tempatan WEKT melaporkan, empat kru berada di atas kereta api ketika kejadian berlaku.
Gambar udara dari lokasi menunjukkan beberapa gerabak tergelincir terbaring bersebelahan, dengan kargo tumpah ke atas sebuah kawasan ladang di kawasan luar bandar.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear berkata, kemalangan di Todd County itu mendorong pihak pengurusan kecemasan tempatan mengeluarkan arahan untuk tidak meninggalkan tempat masing-masing bagi bandar Trenton.
WEKT juga melaporkan sebuah lebuh raya antara bandar Trenton dan Pembroke ditutup untuk tempoh yang tidak ditentukan.-AFP









