RIO DE JANEIRO: Rio de Janeiro dianugerahkan rekod dunia Guinness bagi sambutan malam Tahun Baharu terbesar pernah dianjurkan oleh sebuah bandar, susulan konsert percuma berjam-jam yang menghimpunkan seramai 2.5 juta orang di Pantai Copacabana tahun lalu.
Datuk Bandar Rio, Eduardo Paes menerima plak anugerah itu daripada wakil Rekod Dunia Guinness di pentas utama yang disediakan untuk sambutan tahun ini, juga di Copacabana, yang akan menampilkan penyanyi legenda Brazil, Gilberto Gil.
“Pengiktirafan ini diberikan dengan mengambil kira jumlah peserta yang mencatat rekod, skala program seni, liputan wilayah acara serta kepentingan budayanya,” menurut kenyataan pejabat datuk bandar mengenai anugerah tersebut.
Rakaman dron mengesahkan penyertaan seramai 2.5 juta orang dalam sambutan Tahun Baharu tahun lalu, sekali gus memecahkan rekod terdahulu.
Paes menyifatkan anugerah itu sebagai satu penghormatan besar dan berkata, tiada bandar lain di dunia yang menganjurkan acara yang menghimpunkan jumlah seramai itu secara konsisten.
Setiap tahun, Pantai Copacabana menarik kehadiran orang ramai yang lazimnya mengenakan pakaian berwarna putih sebagai simbol tradisi.
Bagi sambutan tahun ini, penganjur merancang pertunjukan bunga api selama 12 minit serta penggunaan 1,200 dron untuk menerangi langit.
Sebanyak 13 pentas didirikan bagi konsert percuma di seluruh bandar, termasuk tiga di Copacabana, dengan kerahan kira-kira 3,500 anggota polis bagi memastikan keselamatan.
Rio de Janeiro turut mencatat rekod kehadiran hampir dua juta pelawat asing dari Januari hingga November tahun ini.-AFP











