KOTA BHARU: Ketika dihujani tembakan rambang dari dekat dilepaskan komunis, sebutir peluru hinggap di bahagian perut bekas seorang pegawai tentera namun ajaibnya beliau tidak cedera.
Peristiwa menimpa Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik, 63, itu berlaku sewaktu beliau bertempur dengan komunis dalam Operasi Kota Foxtrot di Perak, sekitar Mei 1985.
Selepas diperiksa, rupa-rupanya beliau terselamat kerana tembakan tersebut terkena kelopak peluru dalam poket vest dipakainya.
“Hanya udi senjata yang pecah. Komunis menyangka saya sudah cedera dan cuba menghampiri untuk merampas senjata, namun saya bangun dan melepaskan tembakan menyebabkan dia terpaksa berguling untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Panji di sini baru-baru ini.
Tengku Ahmad Noor berkata, beliau turut melontar bom tangan ke arah pengganas, sebelum melaungkan kepada anggota platun di belakangnya supaya terus mara ke hadapan.
“Taktik saya berjaya menakutkan pengganas dan memaksa mereka berundur kerana menyangka kami lebih ramai.
“Kami seramai 25 anggota dalam Kompeni Delta D memang ditugaskan untuk menjejaki komunis, namun selepas pertempuran itu, operasi tidak diteruskan kerana musuh melarikan diri ke selatan Thailand,” katanya.

ANTARA foto yang menjadi kenangan ketika Tengku Ahmad Noor Tuan Chik berkhidmat sebagai anggota tentera selama 41 tahun. – UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Beliau yang menamatkan perkhidmatan pada 2018 sebagai Ketua Staf Markas Medan Barat Tentera Darat di Kem Sungai Besi memberitahu, beliau turut terlibat dalam kejadian cemas ketika melakukan Operasi Sedar Gubir di Kedah pada 1982.
Katanya, peristiwa itu menyebabkan tiga rakan seperjuangan cedera parah terkena jerangkap samar ketika menjejaki komunis dalam belantara.
“Berbekalkan jiwa patriotik, keberanian dan semangat setiakawan, pihak tentera akhirnya berjaya menghapuskan ancaman komunis daripada bertapak di negara ini,” katanya.
Tengku Ahmad Noor bertemu jodoh dengan isteri yang juga anggota tentera, Leftenan Kolonel (B) Datin Norhayati Abdul Jamak dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak.
Dua daripadanya turut bergelar anggota tentera iaitu Mejar Tengku Emelia Bellina, 34, yang kini bertugas di Akademi Tentera Darat Port Dickson dan Kapten Dr. Tengku Natasha Eleena yang berkhidmat di Kuching, Sarawak. – UTUSAN










