Syed Saddiq selesai bayar baki jaminan RM250,000 - Utusan Malaysia

Syed Saddiq selesai bayar baki jaminan RM250,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menghadapi tuduhan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta, selesai membayar baki jaminan RM250,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak perlu hadir ke mahkamah hari ini kerana wang jaminan itu dijelaskan oleh penjaminnya yang hadir bersama-sama seorang peguam.

Perkara itu dimaklumkan oleh seorang lagi peguamnya, Haijan Omar ketika dihubungi pihak media sejurus urusan jaminan diselesaikan.

Ketika didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Khamis lalu, Hakim Azura Alwi membenarkan Syed Saddiq diikat jamin berjumlah RM330,000 iaitu RM300,000 bagi pertuduhan pertama dan RM30,000 bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM80,000 dibayar pada hari tersebut manakala bakinya dibayar selewat-lewatnya esok.

Pada 23 Julai lalu, Syed Saddiq memaklumkan telah berjaya mengumpul dana bagi membayar wang jaminan serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan.

Menerusi satu ciapan di laman Twitter, beliau mengaku terhutang nyawa dengan rakyat Malaysia dan telah berjaya mengumpul sebanyak RM715,573.77 daripada 9,836 penyumbang.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas sebuah dana yang mana dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1juta melalui satu cek bank tempatan.

Pengeluaran yang dibuat oleh Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA) tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Kesalahan dibuat pada 6 Mac tahun lalu di CIMB Bank Berhad di Menara CIMB KL Sentral, Tingkat Bawah, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral 2, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun yang sama.

Sabit kesalahan, Syed Saddiq boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu dilakukan menerusi akaun Maybank Islamic Berhad di No.16 dan No.16A, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, pada 8 April dan 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun.  UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN