Jangan pilih vaksin - Utusan Malaysia

Jangan pilih vaksin

Semoga matlamat mencapai imuniti kelompok di seluruh negara dapat dilaksana menjelang November ini apabila lebih 60 peratus populasi dijangka sudah menerima vaksin mencegah Covid-19. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan segelintir rakyat memilih untuk disuntik vaksin tertentu dengan alasan ia ada kelebihan berbanding vaksin lain hanya akan menjejaskan kelancaran dan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Apatah lagi, pemberian vaksin yang dilaksanakan secara kempen besar-besaran di seluruh negara memerlukan bekalan vaksin berterusan tanpa mengira jenis vaksin yang diterima kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sebaik vaksin diterima, ia perlu segera diedarkan dan diberikan kepada orang ramai supaya sasaran pelaksanaan program vaksinasi dicapai segera, seterusnya mencapai imuniti kelompok.

Menurut beliau, jika orang ramai dibenarkan memilih vaksin, sudah tentu pelaksanaan program vaksinasi tidak lancar dan tidak dapat diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan.

“Justeru, orang ramai diminta menerima sahaja vaksin yang ditawarkan ketika janji temu,” katanya.

Adham berkata, jika PICK berjalan lancar, sasaran membentuk imuniti kelompok pada akhir tahun ini kerana jumlah pemberian dos kini melebihi sasaran dengan semalam 421,479 dos.

Bagaimanapun, beliau berkata, mana-mana individu dibenarkan membatalkan janji temu penerimaan vaksin jika ada alasan kukuh seperti terdapat alahan kepada sesuatu jenis vaksin dan mempunyai masalah perubatan yang khusus dan memerlukan vaksin yang lebih sesuai diberikan tetapi bukan semata-mata memilih jenis vaksin yang mahu diterima.

Katanya, bagi segelintir kes yang membatalkan janji temu, antara sebab yang dikenal pasti ialah tidak sihat pada hari janji temu, tidak ada pengangkutan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau ingin menghadiri janji temu yang sama dengan pasangan.

“Selain itu, ada kes tidak dapat mengambil vaksin tertentu atas sebab yang disahkan oleh doktor dan sebagainya, bukan kerana mereka memilih vaksin.

“Bagaimanapun, siapa yang membatalkan janji temu atas sebab tertentu itu, mereka diberi ruang untuk mendapatkan janji temu baharu, kecuali ada segelintir yang memilih vaksin, pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) akan memberi kaunseling dan menyampaikan maklumat yang diperlukan,” katanya di sini semalam.

Adham berkata, ramai kini memilih untuk mendapatkan vaksin segera berbanding memilih untuk mendapatkan vaksin yang mereka ingini.

“Krajaan memberi jaminan, apa pun jenis vaksin iaitu Pfizer, Astra Zeneca atau Sinovac atau vaksin lain pada masa akan datang, ia dipastikan selamat dan berkesan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan didaftarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD),” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×