Penduduk muak, jemu tunggu air - Utusan Malaysia

Penduduk muak, jemu tunggu air

LALUAN aktiviti pembalakkan yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan kolam tadahan air di Kampung Kerawai dan Kampung Tanah Liat, Sik, Kedah mengundang keresahan penduduk. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penduduk Kedah yang tinggal di kawasan kerap mengalami gangguan bekalan air boleh menarik nafas lega apabila Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan masalah tersebut dijangka dapat diselesaikan menjelang 2023.

Kerajaan negeri menerima peruntukan yang besar melebihi RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan dalam memastikan masalah bekalan air dapat diselesaikan bagi memberi keselesaan kepada rakyat pada masa depan.

Masalah sebahagian penduduk di kawasan terlibat yang terpaksa bangun menadah air seawal pukul 3 pagi kerana tekanan air rendah pada waktu siang dijangka tidak akan berulang lagi apabila empat loji rawatan air (LRA) baharu di Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar Lama dekat sini dibina tidak lama lagi.

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk yang mengalami masalah gangguan bekalan air meminta kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) mencari jalan penyelesaian jangka pendek bagi memastikan penduduk tidak menderita akibat ketiadaan bekalan air dalam tempoh lebih dua tahun ini.

Dalam keadaan sekarang, kerajaan negeri tidak sepatutnya bertindak melepas tangan dalam membantu penduduk mendapatkan bekalan air secukupnya selepas penduduk ‘digula-gulakan’ dengan pengumuman pembinaan empat projek LRA itu.

Sementara menunggu projek LRA itu siap dalam tempoh lebih dua tahun lagi, kerajaan negeri tidak sepatutnya membiarkan penduduk terlibat menghadapi banyak kesulitan apabila tidak mendapat bekalan air untuk kegunaan harian mereka.

Kebanyakan gangguan bekalan air itu dipercayai berlaku akibat tekanan air rendah akibat jumlah penduduk yang semakin padat dan paip air yang lama sehingga sering berlaku kebocoran.

Antara kawasan menghadapi masalah gangguan bekalan air kritikal ialah di Kuala Kedah, Jerlun, Pokok Sena, Merbok, Baling dan Sik.

Situasi tersebut bertambah buruk apabila kebanyakan penduduk yang menggunakan air sungai dan air bukit sebelum ini turut terjejas apabila sumber air itu tidak dapat digunakan kerana keruh seperti teh susu dipercayai akibat aktiviti pembalakan serta pembersihan ladang pertanian.

Ramai dalam kalangan penduduk di beberapa buah kampung di Sik dan Baling yang bergantung kepada sumber air dari kolam tadahan air bukit juga mengeluh apabila mereka tidak lagi dapat menggunakan air tersebut yang berselut dan keruh.

Penduduk terlibat menggunakan air sungai dan kolam tadahan air bukit sebagai alternatif selain bekalan air yang disalurkan oleh SADA.

Baru-baru ini, dilaporkan lebih 300 penduduk di Kampung Padang Toi, Sik terpaksa membuat catuan bekalan air bersih ekoran Sungai Chepir berdekatan kampung itu sering keruh terutamanya selepas hujan.

Pada masa sama, bekalan air daripada SADA pula mengalami tekanan rendah dan penduduk mula muak dan jemu dengan masalah ketiadaan bekalan air tersebut.

Penduduk juga kecewa apabila SADA gagal menghantar bekalan air dengan menggunakan lori mengikut jadual sehingga penduduk tidak mempunyai simpanan air mencukupi untuk keperluan harian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN