Ordinan Darurat boleh sambung 6 bulan lagi - Utusan Malaysia

Ordinan Darurat boleh sambung 6 bulan lagi

DR. WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ordinan Darurat yang berkuat kuasa semasa tempoh pelaksanaan darurat tidak terbatal serentak dengan tarikh proklamasi itu ditamatkan pada 1 Ogos ini.

Peruntukan ordinan itu masih berkuat kuasa hingga enam bulan pada tarikh terhentinya darurat, melainkan ordinan itu dibatalkan lebih awal oleh Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ini kerana jika Ordinan Darurat tidak dibatalkan lebih awal oleh Parlimen di bawah Perkara 150(3), ia akan terus berkuat kuasa selama enam bulan selepas tarikh akhir tempoh darurat mengikut Perkara 150(7) Perlembagaan.

“Jika darurat tidak dilanjutkan, Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen tidak boleh lagi memasyhurkan Ordinan Darurat.

“Bagaimanapun, Seri Paduka boleh membuat proklamasi baharu selepas 1 Ogos jika ada keadaan darurat besar atau ancaman besar di bawah Perkara 150 (1) dan (2),” kata beliau semalam.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, fungsi kerajaan sama ada semasa darurat mahu pun ketika tempoh biasa, masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, jika peruntukan Perlembagaan ingin digantung, dan atau pindaan dibuat dalam tempoh darurat, mestilah melalui ordinan dan akta.

Dalam pada itu, beliau berkata, Parlimen juga boleh bersidang dalam tempoh darurat dan sepatutnya tidak digantung.

Katanya, perkara itu pernah berlaku dalam tempoh darurat pada tahun 1969 hingga 2011 yang boleh dijadikan gambaran bagaimana sistem pemerintahan negara ditadbirkan.

“Jika dilihat pada peruntukan Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu) 2021, Parlimen tidak boleh dibiarkan tidak bersidang enam bulan selepas 1 Februari 2022, iaitu tarikh luput Ordinan Darurat jika darurat tidak dilanjutkan, dan ordinan tidak dibatalkan,” katanya.

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar sidang Parlimen diadakan dengan segera dan pelaksanaan darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Terbaharu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan, Persidangan Parlimen diputuskan untuk diadakan secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.

Kata beliau, perkara itu diputuskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Parlimen.

“Perkara berkaitan sidang Parlimen itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 7 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×