SHAH ALAM: Kewujudan kluster sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang belum tamat menjadi faktor kes jangkitan Covid-19 di Selangor sukar menunjukkan penurunan.
Malah, kes harian di negeri ini juga tidak akan turun dalam tempoh dua minggu sejak pelaksanaan PKPD, 3 Julai lalu kerana pengesanan kontak rapat secara pantas didakwa gagal dilaksanakan.
Bahkan, keberkesanan PKPD terhadap pandemik itu dikatakan hanya dapat dilihat selepas dua minggu berdasarkan jangka masa wabak boleh berjangkit.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang memberitahu penilaian dalam peringkat awal pelaksanaan PKPD di Selangor tidak boleh dimuktamadkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau menjelaskan jangkitan baharu harian yang tinggi di Selangor adalah datang daripada pelbagai kluster.
“Selagi kita tak dapat mengenal pasti, mengekang ataupun memberhentikan dan kontak rapat ini yang tahu kaitannya indeks kes dengan kluster, selagi itulah saya berani berikan jaminan angka di Selangor tidak akan turun.
“Apa yang dikatakan Kementerian Kesihatan, seolah-olah saringan kontak rapat bukan daripada kluster, betul bukan daripada kluster tetapi punca jangkitan, bagaimana? Hendak kata sporadik?
Adakah munasabah berlaku dengan sendirinya? Tidak.
“Kalau kita jujur untuk membuat pengakuan di mana lemahnya, (laksanakan) seluruh proses Sistem Cari, Uji, Kesan, Asing dan Sokong (FTTIS) sampai ke rawatan itu saya kira akan ada perubahan dan cara kita melandaikan keluk graf jangkitan sekali gus mengurangkan kes,” katanya.
Terdahulu, lapan daerah di Selangor dan 14 kawasan di Kuala Lumpur dikenakan PKPD ekoran berterusan mencatatkan jangkitan harian yang tinggi.
Malah, akhbar ini juga pada 3 Julai lalu melaporkan, tempoh dua minggu PKPD adalah tidak mencukupi dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan sebulan adalah tempoh yang dijangka dapat menunjukkan kesan pelaksanaan dasar itu.
Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan memberitahu, pengekangan wabak perlu dihalang melalui empat kaedah yang boleh menjadi indikasi bagi penilaian pengurusan Covid-19 perlu dilakukan oleh kementerian berkenaan.
“Empat instrumen itu adalah kadar aktiviti, kadar jangkitan, kadar imuniti dan tempoh jangkitan. Jika pengekangan dilaksana dan dinilai melalui empat indikasi itu, kesan terhadap usaha mengurangkan jangkitan beriringan dengan pengesanan kontak rapat yang pantas, pasti berjaya.
“STFC ini, kami hanya think-tank, bukan eksekutif, tak turun padang. Kami hanya boleh bagi pandangan berdasarkan kepakaran yang ada. Tetapi apa jadi bila pandangan yang jatuh kepada the deaf ears,” ujarnya. – UTUSAN










