KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan melancarkan program Mindef Prihatin selepas mengambil kira penularan pandemik Covid-19 di negara ini yang masih berada pada tahap membimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu sebagai inisiatif kerajaan yang dilaksanakan untuk membantu meringankan beban warga kementerian itu.
Ini terutama bagi mereka yang dikategorikan sebagai asnaf serta golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas dari segi pendapatan ekoran wabak Covid-19.
“Insya-Allah untuk perancangan pada masa akan datang, kerajaan juga bersedia untuk memperluaskan program ini ke beberapa lokasi lain seperti di kem-kem tentera di seluruh negara dengan golongan veteran dan orang awam sebagai sasaran.
“Kerajaan juga akan mempelbagaikan kaedah pemberian atau agihan bantuan ini mengikut kesesuaian agar ia mencapai objektif program,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program tersebut di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan itu berkata, beliau berbesar hati dengan sumbangan RM50,000 dari Bank Islam Malaysia Berhad dan Sumbangan Amal Ihtimam iaitu zakat dan korban kepada asnaf Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Kementah bernilai RM38,000.
Antara lain, beliau juga menyatakan penghargaan kepada Perwira Niaga Malaysia (Pernama) atas sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM80,000 yang akan disalurkan melalui kedai-kedai Pernama di seluruh negara.
“Kementerian dan ATM amat berbesar hati dengan kerjasama badan-badan korporat yang terlibat malah mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan badan korporat yang lain.
“Kementerian sentiasa prihatian dan meletakkan keutamaan terhadap kebajikan serta kesejahteraan warganya. Pada masa sama, program ini dilihat sebagai langkah yang signifikan bagi menyokong usaha kerajaan membantu rakyat,” katanya. – UTUSAN










