Russia, Belarus ‘ganggu’ ruang udara Poland

Russia, Belarus ‘ganggu’ ruang udara Poland

POLAND menggerakkan jet pejuangnya untuk memintas pesawat peninjau Russia berhampiran ruang udaranya di Laut Baltik. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARSAW: Poland mengerahkan jet pejuangnya pada Khamis memintas sebuah pesawat peninjau Russia yang terbang berhampiran ruang udaranya di Laut Baltik.

Insiden itu berlaku ketika pihak berkuasa Poland turut melaporkan beberapa pelanggaran ruang udara dari negara jiran, Belarus.

Angkatan Tentera Poland berkata, pesawat Russia dipintas di perairan antarabangsa yang dikenal pasti secara visual dan diiring keluar dari kawasan tanggungjawab Poland.

Insiden berlaku berhampiran sempadan ruang udara negara itu, namun tiada pelanggaran langsung berlaku.

Menurut Biro Keselamatan Negara Poland, puluhan objek memasuki ruang udara negara itu dari arah Belarus dalam tempoh semalaman dengan empat daripada objek itu dikenal pasti sebagai belon penyeludupan.

“Sifat pelanggaran secara besar-besaran, masa kejadian ketika musim cuti Krismas, aktiviti pesawat Russia di Baltik dan insiden serupa di Lithuania sebelum ini, menunjukkan kemungkinan provokasi yang disamarkan sebagai aktiviti penyeludupan,” menurut biro tersebut.

Negara-negara NATO di sayap timur Eropah kini berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi berikutan beberapa pencerobohan ruang udara sejak September lalu, termasuk insiden melibatkan pesawat tentera Russia yang menceroboh ruang udara Estonia dan kemasukan dron ke Poland.

Insiden belon penyeludupan dari Belarus sebelum ini turut menjejaskan penerbangan di Lithuania, sekali gus memaksa penutupan sementara lapangan terbang di Vilnius.

Lithuania menyifatkan belon itu sebagai sebahagian daripada ‘serangan hibrid’oleh Belarus.

Tentera Poland menutup sementara sebahagian ruang udara di wilayah Podlaskie di timur laut, bersempadan dengan Belarus bagi menjamin keselamatan penerbangan awam.

Polis dan tentera terus memantau sempadan dengan rapi.

Belum ada sebarang kenyataan balas diterima daripada kedutaan Russia dan Belarus di Warsaw mengenai insiden itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×