PETALING JAYA: Ahli keluarga mahupun rakan serumah perlu memainkan peranan penting membantu individu yang dikhuatiri mempunyai kecenderungan ke arah gejala bunuh diri.
Walaupun faktor penyumbang gejala bunuh diri di negara masih memerlukan kajian terperinci namun, sebagai langkah awal mereka harus mengamalkan beberapa kaedah menerusi sistem psikologi di rumah atau dipanggil sistem kit kesihatan mental dalam keluarga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salina Sen berkata, jelas isu itu melibatkan faktor tekanan ekonomi serta konflik keluarga mahupun rumahtangga.
“Tidak dinafikan keadaan kehidupan sekarang sedikit sebanyak menyumbang kepada kebimbangan, kemurungan dan kemerosotan kesihatan mental masyarakat awam dan khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental sedia ada,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam
Tegasnya, pandemik Covid-19 yang berterusan dan sukar dijangka turut menjadikan individu menjadi ‘pesimistik’ terhadap masa depan dan kemampuan untuk menangani krisis yang dialami.
“Oleh kerana itu, ahli keluarga mahupun rakan serumah perlu memainkan peranan penting dalam mengawal tekanan yang dihadapi seseorang individu.
“Mereka perlu lebih bekerjasama dan saling bertolak ansur bagi mengurangkan tekanan dalam rumah serta meminimumkan konflik seterusnya memaksimumkan perasaan ambil berat, prihatin dan belas ihsan,” katanya.
Dalam pada itu, pakar psikologi kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd Saad berkata, apa yang boleh dilakukan sekarang adalah mengamalkan sistem kit kesihatan mental dalam keluarga.
“Sistem ini melibatkan komunikasi, berbalik kepada sistem kepercayaan yang dianuti, memikirkan kesan dan akibat jika permasalahan ini berterusan, berkongsi masalah yang dihadapi serta rasionalkan semula pemikiran dengan pemikiran baharu.
“Ahli keluarga atau rakan perlu cepat bertindak jika berasakan perubahan kesihatan mental merosot dengan banyak sehingga menjejaskan rutin harian mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










