PETALING JAYA: Sepuluh delegasi Malaysia yang sebelum ini diculik dan kemudian dilepaskan di selatan perairan Greece berkemungkinan menyertai semula pelayaran Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) ke Gaza.
Sepuluh delegasi tersebut ialah wartawan veteran merangkap aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin, Mohd. Shamsir Mohd. Isa, Hazwan Hazim Dermawan dan Mohd. Hanafi Mohd. Salim.
Turut serta ialah pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman serta Norhelmi Ab. Ghani, Mohd. Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Zulkefli berkata, penyertaan semula mereka bagaimanapun masih belum dapat disahkan sepenuhnya kerana bergantung kepada kapasiti kapal.
Beliau berkata, kapal misi kemanusiaan itu dijadual bertolak dari Marmaris, Turkiye manakala semua delegasi Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan baik dan masih bersemangat untuk meneruskan pelayaran.
“Setakat ini, kapal memang akan bertolak dari Marmaris, Turki pada Rabu.
“Sepuluh delegasi Malaysia yang sebelum ini diculik dan kemudian dilepaskan di selatan perairan Greece sebelum dibawa ke Turkiye berkemungkinan turut belayar hari ini.
“Namun, belum ada pengesahan muktamad sama ada kesemua mereka akan belayar atau sebaliknya kerana ia bergantung kepada kapasiti kapal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, sebanyak 57 kapal GSF bersedia meneruskan pelayaran bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, jumlah itu susulan ketibaan 30 kapal GSF dari Kepulauan Crete, Greece di Pelabuhan Marmaris, Turkiye pada pukul 2 pagi, Ahad lalu.
Beliau berkata, 30 kapal berkenaan kemudian bergabung dengan kapal GSF sedia ada di pelabuhan tersebut, menjadikan keseluruhan 57 kapal.
Mengulas lanjut, Haikal berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan semasa bagi mengetahui kedudukan sebenar penyertaan 10 delegasi berkenaan.
Katanya, misi pelayaran ke Gaza tetap diteruskan walaupun pihaknya menjangkakan beberapa cabaran sepanjang perjalanan termasuk laporan kehadiran kapal Israel di sekitar Kepulauan Cyprus dan Turkiye.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak menjadi penghalang kepada GSF 2.0 untuk meneruskan misi kemanusiaan tersebut.
Mengulas keadaan delegasi Malaysia, Haikal berkata, 10 individu berkenaan serta delegasi lain yang sudah berada di atas kapal dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Katanya, terdapat sebahagian kecil peserta mengalami masalah kesihatan ringan namun keadaan itu tidak menjejaskan persiapan dan semangat mereka untuk meneruskan pelayaran.
“Keadaan 10 delegasi Malaysia dan delegasi Malaysia lain yang memang berada di atas kapal, Alhamdulillah masih baik dan mereka tetap bersemangat untuk meneruskan pelayaran.
“Kita dimaklumkan ada sebahagian kecil peserta yang sakit, tetapi tidak begitu serius seperti selesema, demam atau batuk,” katanya. – UTUSAN










