PATTANI (THAILAND): Majlis Agama Islam Wilayah Pattani (MAIWP) dan Yala (MAIWY) membatalkan ceramah perdana dua pendakwah iaitu Ustaz Azhar Idrus dari Malaysia dan Ustaz Abdul Somad dari Indonesia yang dijadual diadakan di sini hari ini dan esok.
Jurucakapnya berkata, pembatalan program berkenaan dibuat selepas MAIWP dan MAIWY mempertimbang beberapa perkara berbangkit serta penarikan diri oleh pendakwah terbabit.
Katanya, kedua-dua majlis agama Islam dimaklumkan oleh Azhar Idrus dan Abdul Somad mengenai keputusan menarik diri daripada program berkenaan.
“Ustaz Abdul Somad memaklumkan beliau mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pandangan masyarakat serta maklumat perisikan untuk membatalkan kehadirannya pada program berkenaan.
“Keputusan itu juga dibuat setelah berbincang dengan pelbagai pihak dari sudut keselamatan, serta lebih mengutamakan keamanan dan ketenteraman di Selatan Thai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jurucakap itu berkata, MAIWP dan MAIWY sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan pasukan keselamatan di Selatan Thai termasuk Tentera Wilayah 4, Pusat Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC4) dan Polis Peronda Sempadan berhubung kehadiran dua tokoh itu.
Beliau berkata, pertemuan dengan pihak berkuasa keselamatan dibuat bagi menjelaskan tujuan sebenar majlis agama Islam menjemput dua pendakwah berkenaan untuk memberi ceramah di Pattani dan Yala. – UTUSAN










