Kapal berlanggar di Muar, tiada kemalangan jiwa - Utusan Malaysia

Kapal berlanggar di Muar, tiada kemalangan jiwa

KEADAAN kapal MV Galapagos dan MV Zephyr Lumos yang berlanggar di perairan Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Sebuah kapal tangki dan kapal kargo berlanggar antara satu sama lain di kedudukan 14.1 batu nautika di barat daya Kuala Sungai Muar di perairan Muar, di sini, tengah malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden membabitkan kapal MV Galapagos dan MV Zephyr Lumos yang berlanggar pada pukul 12.03 tengah malam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat menerusi Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya.

Beliau berkata, MRCC Putrajaya menerima isyarat kecemasan oleh sistem Cospas-Sarsat daripada kapal kargo terbabit manakala satu lagi isyarat sama diterima melalui Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia.

“Sejurus selepas menerima maklumat, MRSC Johor Bahru menyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Batu Pahat dan Pos Pengkalan Hadapan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Batu Pahat bagi memohon bantuan aset,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, kapal Kilat 47 daripada Zon Maritim Batu Pahat dan PSC 37 Pasukan Polis Marin (PPM) telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran kejadian.

“Hasil pemerhatian dan pemantauan di lokasi kejadian, kapal MV Zephyr Lumos disyaki terlanggar kapal MV Galapagos dan sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” 

Kata beliau, Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN