HARI ini, umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1442H. Selepas Hari Raya Aidilfitri yang diraikan pada 1 Syawal lalu, Hari Raya Aidiladha adalah hari raya kedua umat Islam yang kebiasaannya disambut penuh meriah.
Dari segi sejarahnya, sambutan Hari Raya Aidiladha bertujuan mengenang kembali peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s seperti yang dicatatkan dalam al-Quran. Sejajar dengan itu, secara lazimnya umat Islam bergotong-royong mengerjakan ibadah korban selepas selesainya khutbah raya sehinggalah terbenamnya matahari pada 13 Zulhijah.
Dari sudut objektif pelaksanaannya, korban merupakan salah satu bentuk ibadah seseorang untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Bagaimanapun, tidak ramai individu yang memiliki kemampuan untuk menjalani ibadah ini melainkan mereka yang mempunyai kecukupan dari sudut kewangan. Para fuqaha menyimpulkan hukum melaksanakan korban adalah sunat muakkad iaitu sunat yang digalakkan terutamanya ke atas mereka yang mampu.
Antara hikmah melaksanakan korban adalah mengikis sifat bakhil dalam diri, menjauhi sikap suka mementingkan diri sendiri serta menyuburkan nilai empati terhadap mereka yang ditimpa kesusahan. Lebih-lebih lagi pengagihan daging korban kepada golongan fakir, miskin dan mereka yang kurang bernasib baik merupakan manifestasi terhadap hikmah pensyariatan ibadah ini.
Dalam membincangkan bab sembelihan, fuqaha turut membahaskan perihal agihan daging korban. Antaranya berkenaan kaedah pembahagian daging korban yang lebih afdal menurut syarak. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir r.a: “Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang berbaki. Lalu baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya.” (Riwayat Muslim 1218)
Persoalan yang timbul, bagaimanakah daging tersebut diagihkan? Adakah ia menjadi milik peserta korban itu sepenuhnya atau perlu juga memberikannya kepada fakir miskin? Dalam menjawab persoalan ini, Sheikh Muhammad al-Syathiri dalam kitabnya, Syarh al-Yaqut al-Nafis menjelaskan, lebih afdal kepada para peserta untuk mengambil sedikit bahagian daripada daging korban yang sunat itu bagi memperoleh keberkatan daripadanya. Sebahagian besar yang lain pula disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis 826).
Begitu juga pandangan Imam al-Bajuri dalam kitabnya, Hasyiyah al-Bajuri, apabila beliau mensyaratkan pemberian daging tersebut kepada golongan fakir dan miskin mestilah berada dalam keadaannya yang masih mentah dan belum dimasak. (Rujuk Hasyiah al-Bajuri 2:567).
MAJMUK
Hal ini bagi membolehkan mereka berpeluang memanfaatkannya sama ada untuk menjual ataupun menyimpan sebagai bekalan makanan mereka. Dalam maksud lain, umat Islam mesti memahami di sebalik haiwan korban yang disembelih, terdapat padanya hak golongan fakir dan miskin yang mesti ditunaikan.
Pada masa sama, antara isu lain yang berbangkit adalah mengenai hukum keharusan menyedekahkan daging korban ini kepada golongan bukan Islam yang fakir dan miskin. Bagi situasi di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, maka pendekatan hukum yang bersifat harmoni menjadi asas yang utama dalam memelihara perpaduan kaum. Oleh yang demikian, institusi fatwa seperti Jabatan Mufti Negeri Johor mengeluarkan fatwa pada 2016 supaya mengharuskan juga agihan tersebut kepada golongan kafir dzimmi yang fakir dan miskin, dengan syarat ia mestilah diserahkan dalam keadaan daging berkenaan telah siap dimasak.
Pendekatan ini membuktikan ibadah korban turut memainkan peranan dalam menangani isu kemiskinan yang berlaku di sekeliling kita.
Sehubungan itu, selain daripada melihat korban sebagai satu bentuk ibadah, kita juga perlu memandangnya dari perspektif hubungan sesama manusia. Dalam konteks kesejahteraan sosial, agihan daging korban kepada golongan kurang bernasib baik merupakan antara inisiatif bagi mengatasi masalah kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat.
Pemberian daging secara tidak langsung membantu memenuhi keperluan asasi golongan ini, meningkatkan kualiti kehidupan sehingga membolehkan mereka untuk berpartisipasi semula ke dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi ketika ini ramai dalam kalangan kita yang kehilangan pekerjaan, tiada pendapatan, perniagaan terpaksa ditutup dan krisis kesihatan mental semakin membimbangkan akibat krisis Covid-19 yang masih berlarutan.
Oleh itu, adalah menjadi suatu tanggungjawab bagi kita semua untuk membantu saudara dan kenalan kita yang ditimpa kesusahan dengan cara memperluaskan agihan daging korban ini kepada mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara sesama Muslim yang lain, tidak boleh menganiaya dan membiarkan saudaranya dianiaya orang lain. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Sesiapa yang meringankan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan meringankan kesukarannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari Kiamat.” (Riwayat Bukhari 2242)
Tuntasnya, pelaksanaan ibadah korban bukan sahaja memelihara hubungan seseorang itu dengan Allah SWT, malah ia juga memupuk sifat ihsan, empati dan tanggungjawab dalam kalangan umat Islam terhadap masyarakat di sekeliling mereka.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri.










