Elak cetus kluster korban - Zulkifli - Utusan Malaysia

Elak cetus kluster korban – Zulkifli

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini diminta mengambil langkah waspada ketika me­nyambut Hari Raya Aidiladha dengan mengelak daripada berkumpul dalam jumlah ramai terutama ketika melaksanakan ibadah korban.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, negara masih dalam pandemik Co­vid-19 dan risiko penularan jangkitan boleh berlaku, apatah lagi jika ada perhimpunan ramai.

Justeru, katanya, semua pihak perlu mematuhi ketat prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban seperti yang di­umumkan baru-baru ini sebagai panduan dalam meraikan pe­rayaan Aidiladha yang disunatkan dengan ibadah penyembelihan haiwan korban.

“Kita juga memohon tidak ada kunjungan dari rumah ke rumah atau mengadakan kenduri ketika hari raya bagi mengelak perkumpulan ramai walaupun dalam kalangan anak-beranak sendiri.

“Kita tidak mahu wujud semula kluster perayaan atau kali ini mungkin kluster korban. Jadi kita minta masyarakat sama-­sama mengambil tanggungjawab menjaga diri masing-ma­sing. Berkorbanlah demi nyawa diri dan ahli keluarga,” katanya di sini semalam.

SOP ibadah korban diwartakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat mufti seluruh negeri melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Maj­lis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang baru-baru ini.

Bagaimanapun, sebarang ketetapan tertakluk kepada bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara SOP yang ditetapkan ialah pelaksanaan ibadah korban dibenarkan bermula pukul 6 pagi sehingga 6 petang dengan kehadiran tidak melebihi 10 individu termasuk petugas.

Proses penyembelihan dibenarkan hanya di 27 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), 35 rumah sembelihan ruminan swasta yang dilesenkan JPV dan masjid serta surau dengan kelulusan pihak berkuasa berkaitan seperti JPV, pihak berkuasa agama dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

Haiwan disembelih tidak boleh lebih lima ekor sehari de­ngan proses potongan dan pembungkusan hendaklah di tempat lapang yang tidak menyebabkan berlaku kesesakan.

Mengikut rekod, bermula 13 Mei sehingga 10 Jun lalu terdapat sebanyak 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (dua kluster) dilaporkan.

Sebanyak 13,023 individu disaring dalam kluster ini, yang mana terdapat 3,511 kes Co­vid-19 dikenal pasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus.

Daripada jumlah 3,511 kes tersebut, 20 kematian dilaporkan.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, umat Islam diminta menghayati hikmah ibadah korban yang mendidik manusia untuk berkongsi rezeki dan nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

Bertepatan dengan suasana semasa pandemik Covid-19, beliau memberitahu, ramai yang memerlukan bantuan makanan.

“Maka saat inilah daging korban diagihkan seadilnya kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN