Ekonomi dijangka berkembang 3.5 peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi dijangka berkembang 3.5 peratus

APABILA dunia termasuk Malaysia berdepan pandemik Covid-19, kesan kemelesetan ekonomi pada 1998 sebenarnya amat kecil. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi meramalkan ekonomi negara berkembang antara 3.5 hingga empat peratus tahun ini berikutan lanjutan perintah sekatan pergerakan penuh hingga menyebabkan hampir seluruh sektor ekonomi terpaksa ditutup semula pada awal bulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, jadi unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa ekonomi negara tumbuh antara enam hingga 7.5 peratus sukar dicapai melihat situasi pandemik Covid-19 yang belum dapat dipastikan penghujungnya.

Menurut beliau, keadaan itu diburukkan lagi apabila kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur yang menjadi penyumbang besar ekonomi negara selepas beberapa sektor ekonomi seperti kilang dan perniagaan ditutup dua minggu.

“Namun, jika sektor ekonomi mula dibuka penuh pada September atau Oktober ini, walaupun berjalan rancak, adalah mustahil untuk mencapai seperti mana jangkaan BNM. Jika dibuka penuh sektor ekonomi seperti digariskan dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara, paling kurang, ekonomi Malaysia boleh berkembang antara 3.5 hingga empat peratus.

“Itupun kalau tiada gelombang keempat dan PKPD tidak berpanjangan. Kalau ini tidak berlaku, mungkin Malaysia bakal menghampiri jalan keluar kemelut krisis ekonomi dan pandemik Covid-19,” katanya.

Pada Mac lalu, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus mengumumkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus pada 2021 selepas mencatatkan penguncupan 5.6 peratus pada tahun lalu dengan dipacu oleh faktor luaran dan domestik.

Kata Nor Shamsiah, unjuran tersebut mengambil kira ketidaktentuan pandemik dan kemungkinan berlakunya gelombang jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Baharom menjangkakan situasi sukar dihadapi negara kini dijangka berakhir dua bulan lagi jika pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 mengikut perancangan dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ‘tidak separuh masak’.

“Jika ini gagal, ekonomi akan bertambah teruk hingga menyebabkan lebih banyak perniagaan gulung tikar dan akhirnya ramai terpaksa dibuang kerja sekali gus kadar inflasi meningkat.

“Biarlah kita susah sebulan dua ini dengan sekatan pergerakan penuh, tetapi kita akan menemukan pengakhirnya dalam masa terdekat,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (​UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari pula berkata, penutupan ekonomi lebih lama akan memberi impak lebih besar kepada ekonomi isi rumah dan peniaga memandangkan impak tahun 2020 pun tidak pulih sepenuhnya.

Katanya, lebih membimbangkan kesan ini dijangka akan memakan masa yang lebih lama untuk kembali pulih seperti sedia kala.

“Melihat kepada situasi sekarang, adalah menjadi keperluan kepada kerajaan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi. Ini bagi mengelakkan keadaan bertambah meruncing dengan kadar kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang semakin tinggi pada ketika ini.

“Pada pandangan saya, keutamaan perlu diberikan kepada sektor-sektor ekonomi seperti yang berorientasikan buruh, menggaji ramai pekerja B40 dan M40 dan sektor ekonomi yang bukan asas tetapi tidak melibatkan interaksi ramai orang seperti pemandu lori tanah, nelayan dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN