PETALING JAYA: Kerajaan menumpukan usaha memperkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara sebagai persediaan mendepani cabaran kewangan serta ketidaktentuan rantaian ekonomi global, termasuk krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap perancangan dan pelaksanaan mesti digerakkan secara lebih strategik dan berkesan bagi menjadikan STI sebagai pemacu utama penyelesaian ekonomi negara.
“Tumpuan penuh terus diberikan kepada usaha memperkasa ekosistem STI negara. Ini melalui pelaksanaan beberapa inisiatif berasaskan misi yang diyakini mampu mengoptimumkan sumber, merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendekatan tersebut amat penting khususnya dalam memperkukuh sinergi strategik antara kerajaan Madani, sektor swasta serta institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Ini demi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemah kepada manfaat nyata buat rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN










