PETALING JAYA: Seorang ketua bahagian sebuah parti politik di Pulau Pinang yang juga pengerusi lembaga pengarah sebuah koperasi hartanah bergelar Datuk akan didakwa di mahkamah hari ini berhubung kes rasuah melibatkan sogokan lebih RM16 juta.
Beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas disyaki menerima wang rasuah dan barangan berharga berjumlah lebih RM16 juta daripada seorang pengarah syarikat pemaju bergelar Tan Sri.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, menurut sumber, Datuk berkenaan didakwa melantik beberapa syarikat menguruskan projek pembangunan di tanah-tanah milik koperasi, kepada syarikat milik Tan Sri berkenaan.
Bukan itu sahaja, menurut sumber, SPRM turut menemukan wang tunai RM1.5 juta serta gold bar bernilai RM250,000 yang disimpan di rumah Datuk terbabit.
Sumber berkata, sogokan diterima Datuk berkenaan adalah sebagai balasan melantik sembilan syarikat pemaju milik Tan Sri tersebut bagi menjalankan projek usahasama di 181 ekar tanah milik koperasi bagi tujuan pembangunan.
Kata sumber itu, syarikat pemaju berkenaan adalah syarikat terbesar di Pulau Pinang dan telah menerima projek daripada suspek sejak 2010 lagi.
“Sepanjang tempoh itu, syarikat pemaju milik Tan Sri berkenaan dipercayai menggunakan nama proksi terdiri daripada isteri dan ahli keluarganya bagi memasuki tender yang ditawarkan,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, kata sumber itu, berdasarkan siasatan dan operasi yang dijalankan oleh SPRM sejak Ogos tahun lalu juga mendapati Datuk berkenaan memberi beberapa lagi projek membabitkan tanah milik koperasi kepada beberapa individu lain.
Bagaimanapun, kata sumber itu, siasatan masih dijalankan bagi mengumpulkan bukti-bukti berkaitan tersebut.
Dalam pada itu, kata sumber, Datuk tersebut akan berhadapan dengan lebih 160 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613] (AMLATFA 2001) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] (AMLATFAPUAA 2001).
Kata sumber, beberapa buah kenderaan mewah, rumah dan tanah milik Datuk berkenaan turut disita SPRM.
“Pertuduhan pertama akan dilakukan terhadap Datuk berkenaan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
“Selepas itu, beliau juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai ini,” katanya. – UTUSAN










