PETALING JAYA : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan beliau kini dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom tidak diingini meskipun telah disahkan positif Covid-19.
Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau kini sedang menjalani kuarantin kendiri dan bekerja seperti biasa secara dalam talian.
“Saya faham ramai tertanya-tanya mengenai keadaan saya selepas mendengar berita yang di luar jangkaan. Syukur alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom tidak diingini.
“Saya tidak mengalami demam, batuk, selesema atau apa-apa gejala lain. Sekarang ini saya menjalani kuarantin kendiri dan bekerja seperti biasa secara dalam talian.
“Bagaimanapun, iltizam saya untuk rakyat dan negara tidak akan sesekali goyah. Insya-Allah, saya akan terus berkhidmat dengan kapasiti yang ada. Doakan saya untuk terus berjuang,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Dalam Facebooknya itu, Ahmad Zahid menunjukkan gambar beliau sedang menyiram pokok bunga.
Semalam Utusan Online melaporkan Ahmad Zahid merupakan antara 35 individu di dalam kalangan ahli Parlimen serta pegawai mereka disahkan positif Covid-19.
Perkembangan ini suatu yang mengejutkan menjelang sehari pembukaan sidang khas Parlimen pada esok.
Pada masa sama, sumber memberitahu Utusan Malaysia, terdapat ahli Parlimen yang mempunyai kontrak rapat dengan mereka dan kini dipercayai sedang membuat ujian calitan.
“Turut terlibat ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon kerana pegawai pengiringnya positif,” kata sumber ketika dihubungi.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 selama lima hari akan bermula Isnin, 26 Julai ini hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE










