SHAH ALAM: Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM235.95 juta bagi perkukuhkan syiar Islam dan RM84.95 juta untuk perkasa pelbagai program kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah peruntukan itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM39.89 juta atau 20.35 peratus berbanding tahun lepas, yang mencerminkan keutamaan kerajaan negeri dalam pembangunan agama secara menyeluruh.
Menurut beliau, peruntukan tersebut meliputi pelbagai aspek termasuk pendidikan agama, pembangunan masjid dan penyediaan kemudahan ibadah di seluruh negeri.
Prihatin terhadap kebajikan jemaah haji, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan berjumlah RM2.5 juta kepada lebih 1,712 bakal jemaah menerusi Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji.
Tambahnya, sempena tahun keempat pelaksanaan inisiatif itu, kadar bantuan ditingkatkan daripada RM500 kepada RM750 seorang, selain diperluaskan kepada semua anak Pahang tanpa mengira lokasi pendaftaran.
“Tahun ini kita perluaskan lagi pemberian ini. Dulu hanya mereka yang mendaftar di Tabung Haji di Pahang sahaja menerima inisiatif ini.
“Sekarang, semua anak Pahang yang mendapat tawaran haji melalui Tabung Haji, walau di mana sahaja mereka mendaftar, tetap layak menerima bantuan dengan peruntukan keseluruhan RM2.5 juta.
“Prinsip kita mudah, selagi dia anak Pahang, kebajikan dia tetap kita jaga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji Kluster Anak Perantauan Pahang Tahun 1447H/2026M di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, semalam.
Menerusi inisiatif tersebut, setiap anak Pahang layak menerima bantuan wang tunai sebanyak RM750, pek makanan retort serta buku doa sebagai persediaan ketika menunaikan ibadah haji.
Pada majlis sama, seramai 144 anak Pahang yang berada di perantauan turut disantuni menerusi bantuan berjumlah RM496,100.
Sementara itu, seorang guru, Saharuddin Abdullah, 56, yang menerima bantuan wang tunai sebanyak RM750 menerusi Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji berkata: “Saya sangat berbangga dan berasa bertuah menjadi anak jati Pahang. Walaupun berada di perantauan, kami tetap disantuni dan diingati.”
Beliau yang berasal dari Temerloh, berasa terharu kerana kerajaan negeri tidak pernah melupakan kebajikan rakyatnya meskipun berada jauh di perantauan.
Sementara isterinya, Hasnah Ahmad Supian, 54, yang turut menerima bantuan sama, sangat kagum dengan keprihatinan kerajaan negeri.
“Bukan sahaja bantuan seperti ini, kami juga menerima inisiatif lain seperti baucar balik raya untuk anak-anak perantau.
“Syukur atas bantuan yang diterima ini. Wang tunai ini akan saya gunakan di tanah suci bagi menampung perbelanjaan sepanjang menunaikan ibadah haji,” katanya.
Bagi seorang pekerja swasta, Alya Sorfina Ahmad, 24, bantuan wang tunai diterimanya itu, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaannya di tanah suci kelak.
Alya yang merupakan penerima termuda Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji berkata, dia tidak menjangka terpilih menerima bantuan tersebut.
“Memang terkejut juga apabila dimaklumkan terpilih. Saya tidak sangka, tambahan pula ini kali pertama saya menerima bantuan seperti ini.
“Bantuan ini sangat membantu kerana di sana nanti pasti ada keperluan tambahan yang perlu dibeli. Lagipun, saya baru sahaja bekerja. Sekurang-kurangnya, ia dapat menampung perbelanjaan sepanjang menunaikan ibadah haji,” katanya.
Jurulatih selam skuba, Aminor Azmi Abdul Latif, 45, yang berasal dari Pekan, berkata, bantuan diterima itu disifatkan sebagai satu bentuk penghargaan kepada anak perantau sepertinya.
“Sebagai orang yang berada di perantauan, kami jarang menerima perhatian seperti ini apatah lagi sumbangan.
“Justeru, apabila diraikan dalam majlis sebegini, kami berasa sangat dihargai dan diambil berat,” katanya. – UTUSAN










